Terdiri daripada 56 pejabat kedai, EcoHill Taipan dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar kira-kira RM130 juta dan dijangka menawarkan pelbagai kemudahan kepada komuniti Semenyih.

Pengurus Besar Setia Ecohill, SM Koh berkata, EcoHill Taipan menawarkan unit-unit tiga tingkat di bahagian tengah, manakala unit tepi terdiri daripada bangunan empat tingkat.

Ujarnya, kesemua unit tersebut telah terjual apabila projek itu dilancarkan pada tahun 2015.

“Pada masa ini, ia terdiri daripada gabungan pelbagai jenis perniagaan termasuk klinik, syarikat perdagangan, kedai makanan dan minuman serta lain-lain perkhidmatan yang sedia untuk beroperasi tidak lama lagi.

“Kami yakin pemilik EcoHill Taipan akan berpeluang menikmati pulangan sewa serendah enam peratus daripada pelaburan mereka di sini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini baru-baru ini.

EcoHill Taipan terletak di lokasi strategik iaitu di jalan utama di Semenyih yang dikelilingi dengan kira-kira 60,000 penduduk.