Ketua Pegawai Operasi Eastern Steel, Tee Choon Hock berkata, kilangnya seluas 486 hektar di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong di sini bakal mengeluarkan 700,000 tan metrik tan produk besi keluli dengan unjuran perolehan kira-kira USD300 juta (RM1.19 trilion) dalam tempoh setahun.

Beliau berkata, sebelum ini, Eastern Steel yang merupakan anak syarikat Hiap Teck Venture Berhad terpaksa menghentikan sementara pengeluaran pada Oktober 2015 berikutan kejatuhan harga besi keluli di pasaran dunia.
 
"Walaubagaimanapun, Eastern Steel tidak pernah menutup operasi dan sentiasa bersedia untuk aktif semula. Kami kini bersedia apabila pasaran (besi keluli) global didapati kembali pulih.

"Berdasarkan senario semasa, kami optimis mampu mencatatkan keuntungan semula pada tempoh tiga bulan selepas kembali melakukan pengeluaran pada Mei depan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis pelepasan 28 tenaga kerja mahir dan teknikal Eastern Steel untuk menjalani latihan industri di Tangshan, China oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Choon Hock berkata, harga produk besi keluli di pasaran dunia kini kembali melonjak kepada USD500 (RM1,989) bagi setiap metrik tan berbanding cuma RM250 (RM994) pada dua tahun lalu. - K! ONLINE