Platform hasil kerjasama syarikat penyedia penyelesaian teknologi digital, MNC Wireless Bhd. (MNC) dan Urban Setup Sdn. Bhd. (Urban) sebagai pemegang lesen daripada SGPMX (M) Sdn. Bhd. itu membolehkan pelanggan membeli emas fizikal menerusi aplikasi mudah alih dengan nilai minimum RM0.01.

Ketua Pegawai Eksekutif MNC, Christopher Tan Chor How berkata, saiz industri dagangan emas di Malaysia sedang pesat berkembang, ia bakal mencecah kepada RM15.8 bilion pada tahun ini, jangkaan RM12.4 bilion pada tahun 2018 berban­ding RM10.7 bilion pada tahun 2017.

Menurut beliau, nilai industri diunjurkan bertumbuh kepada RM25.6 bilion pada 2021.

“Pelancaran platform ini de­ngan kerjasama erat daripada pembekal emas antarabangsa membolehkan akses mudah kepada pembelian emas untuk masyarakat umum.

“Melalui penyelesaian hujung ke hujung, ia akan membolehkan mereka membeli, menjual, me­nebus atau menghantar emas ke lokasi yang mereka kehendaki.

“Keistimewaan platform kami ialah pelanggan boleh membeli emas pada harga semasa pasaran antarabangsa pada bila-bila masa, 24 jam sehari tanpa sebarang keuntungan seperti di kedai biasa. Kami hanya mengenakan fi pada kadar minima sebanyak satu peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena majlis menandatangani MoU antara MNC dan Urban di sini semalam.

Turut hadir Menteri Pemba­ngunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof.

Sementara itu, Pengarah Urban, Datuk Azrulnizam Abdul Aziz berkata, platform tersebut adalah patuh syariah kerana pelanggan membeli emas secara fizikal yang disimpan di pusat penyimpanan di Singapura.

“Kami tidak menjual emas hanya di atas kertas atau menjual barangan yang kami tidak ada. Pelanggan boleh meminta supaya emas yang dibeli dihantar kepada mereka pada jumlah minimum sebanyak satu gram,” katanya.

Menurut Azrulnizam, platform tersebut hanya dapat dilancarkan pada hujung tahun ini memandangkan pihaknya masih dalam proses membina infrastruktur dan mengintegrasikan sistem.