Inilah masalah yang sering dihadapi Pengasas Wasapower, Mohd. Khairil Izham sebelum ini ketika berkhidmat di sebuah syarikat perkapalan terbesar di Malaysia.

Mengambil kira pelbagai faktor, beliau nekad berhenti kerja dan mengambil alternatif de­ngan terjun dalam bidang keusahawanan.

Apa yang penting dirinya kini ialah berada dekat dengan ahli keluarga melihat anak-anak membesar di depan matanya selain membantu dan menyokong isterinya yang sebelum ini terpaksa menanggung beban me­nguruskan hal ehwal rumah tangga secara seorang diri.

“Bermula tahun 2016, saya mula mencuba pelbagai bidang niaga seperti menjadi dropship, ejen dan stokis pelbagai bara­ngan sama ada produk penjagaan kecantikan penjagaan kesihatan, dekorasi rumah, ejen hartanah dan insurans.

“Banyak pengalaman jatuh bangun saya sepanjang tahun tersebut dan setahun selepas itu, saya menceburi bidang coaching kepada usahawan online yang baharu berniaga,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Mohd. Khairil menjelaskan, pada tahun 2018, beliau ditemukan dengan seorang rakan yang menawarkan peluang untuk berniaga menjadi stokis kepada jualan buku secara online.

“Sememangnya, ia menjadi pilihan terbaik saya kerana ketika itu, persaingan adalah kurang dan daripada situ, saya telah mula membangunkan sistem ejen sendiri sehingga menjadikan saya sebagai penerbit buku itu sekarang,” jelasnya.

Terdapat lapan jenis buku yang diterbitkan melibatkan pelajaran utama seperti Matematik, Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan juga kamus.

Bermodalkan wang tunai sebanyak RM1,000 untuk bayaran sewa kedai dan pembelian produk telah membuatkan beliau, sentiasa berjimat cermat pada peringkat awal dalam me­nguruskan operasinya.

Namun berkat usahanya, perniagaan tersebut berkembang secara berperingkat peringkat sehingga pada tahun 2020, kami mampu mengunjurkan jualan sehingga RM4 juta.

“Sejak memulakan perniagaan dan sehingga kini, sebanyak 80,000 unit buku telah terjual dan pada tahun ini, perolehan jualan dijangkakan sebanyak RM1.7 juta,” jelasnya.

Lebih menarik syarikat, belum lagi membuat sebarang pinjaman dengan mana-mana institusi kewangan untuk menjadikan ia modal bagi pengembangan perniagaan syarikat.

Tambah beliau, buku pelajaran untuk kanak-kanak sekolah rendah yang berumur antara satu hingga 12 tahun itu tidak dijual di mana-mana kedai buku atau di pasaran biasa.

Ia hanya boleh ditempah secara online dan kandungan buku tersebut telah diolah daripada penulis sendiri dengan mengambilkira masalah kelemahan anak-anak dalam menguasai sesuatu subjek teras.

Lebih menarik, buku jualannya itu juga memberi tumpuan terhadap anak-anak yang lemah dalam sesuatu subjek teras.

Buku itu turut diterbitkan dalam konsep berwarna warni bagi menarik minat kanak-kanak membaca serta syarikat memberi hadiah percuma berupa buku kecil sebagai tambah nilai kepada pembeli buku.

Mohd. Khairil menerangkan, sokongan daripada rangkaian pemasarannya yang semakin meluas iaitu melalui ejen seramai 700 orang membantu syarikat mencatat jualan yang menggalakkan selain penambahan sehingga 2,000 orang menjelang tahun depan.

Ditanya mengenai cabaran besar yang dihadapi dalam bidang tersebut, Mohd. Khairil menjelaskan, ia tertumpu kepada sistem ejen yang dibangunkan itu kerana ia melibatkan emosi manusia yang sekali sekala tertumpu kepada momentum turun naik semangat mereka.

“Biasalah, jika ia melibatkan emosi manusia, kami tidak mampu memuaskan hati semua orang.

“Sehubungan itu, kami perlu berhati-hati membuat sesuatu keputusan sebab ia akan melibatkan ejen kami, jika pendapat ejen tidak diambil kira, maka sistem itu akan runtuh dengan sendirinya,” ujarnya.

Dalam keterujaan Mohd. Khairil menguruskan perniagaannya itu, beliau begitu berbangga kerana banyak testimoni positif daripada ibu bapa yang melihat pembaharuan terbaik terhadap kemahiran anak ma­sing-masing.

“Saya gembira bila melihat ibu bapa melihat pencapaian anak-anak yang semakin baik terhadap pelajaran masing-masing, mereka akan sanggup berbelanja besar untuk memastikan anak mereka mendapat perkhidmatan pembelajaran berkualiti.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat tentang penjualan buku secara online atau menjadi pengedar buku-buku tersebut, boleh menghubungi talian 013-204 2514.