Pengarah Urusan DRB-Hicom, Datuk Sri Syed Faisal Albar berkata, adalah tidak benar untuk menyatakan bahawa Puspakom bertindak sebagai monopoli kerana syarikat tersebut ditubuhkan sendiri oleh kerajaan dalam menjalankan pemeriksaan kenderaan berasaskan kepentingan umum.

Beliau berkata, koglomerat itu kemudiannya telah mengambil alih Puspakom dalam meneruskan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan yang sebelum ini dikendalikan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Justeru itu, tidak timbul isu berkenaan Puspakom memonopoli industri ini. Pada kami, yang lebih utama adalah untuk melihat lebih kehadapan khususnya membicarakan apa yang akan terjadi kepada industri kenderaan negara.

“Kami ketika ini sedang berbincang dengan kerajaan tentang beberapa perkara sebagai memainkan peranan untuk membantu meningkatkan lagi industri ini secara keseluruhannya,” katanya pada sidang akhbar sempena DRB-Hicom Media Escapade 2019 di Hotel Double Tree by Hilton, Hatten City di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi, Perkhidmatan Korporat, Datuk Jezilee Mohamad Ramli, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton Holdings Bhd., Datuk Radzaif Mohamed, CEO Composite Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CRTM), Shamsuddin Mohd. Yusof dan CEO Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas), Roslan Roskan.

Pusat  kenderaan tersebut ditubuhkan pada tahun 1994 dan merupakan salah satu perkhidmatan kerajaan  yang  telah  menjalani  proses  penswastaan.

Terdahulu, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Monopoli telah meneliti pembentangan empat syarikat utama termasuk Puspakom dalam usaha untuk memecahkan amalan monopoli atau kartel.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini berkata, usaha tersebut adalah antara inisiatif kerajaan untuk meliberalisasikan industri dan menggalakkan persaingan serta inovasi dalam perniagaan dan perkhidmatan.

Sementara itu, menjawab persoalan wartawan berkaitan tempoh masa sehingga 12 Julai ini untuk pemandu kenderaan e-hailing membuat pemeriksaan di Puspakom, Syed Faisal menyarankan agar semua pemandu tidak menunggu hingga saat akhir untuk membawa kenderaan mereka hadir menjalani pemeriksaan.

“Kami telah mengambil pelbagai inisiatif dan langkah yang proaktif bagi memenuhi permintaan pemandu kenderaan e-hailing. Ia termasuk lanjutan waktu operasi khas termasuk memanjangkan operasi selama  tujuh hari seminggu di 19 buah cawangan terpilih.

“Puspakom turut melanjutkan operasi enam hari seminggu di 10 buah cawangan terpilih selain waktu operasi tambahan selama dua jam di 19 cawangan terpilih. Langkah ini dilihat mampu menampung jumlah kapasiti diperlukan,” ujarnya. - K! ONLINE