Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Peter Chai berkata, menerusi perancangan tersebut, DPI Holdings akan memberi tumpuan terhadap segmen pengilangan jenama asal (OBM) dengan memper­kenal rangkaian baharu dalam menyokong langkah pengembangan itu.

“Justeru itu, melalui penyenaraian di pasaran ACE Bursa Malaysia kami menetapkan perolehan tawaran awam awalnya (IPO) sebanyak RM1.3 juta daripada jumlah keseluruhan RM31.6 juta diterima bagi tujuan pelaksanaan pembangunan produk baharu dalam meme­nuhi permintaan pasaran.

“Ketika ini, segmen OBM menyumbang sebanyak 85 peratus kepada perolehan syarikat manakala baki 15 peratus datang daripada permintaan pengilang peralatan asal (OEM),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyenaraian di Bursa Malaysia, Bukit Kewangan di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Pengarah Urusan DPI Holdings, Adam Chai.

Menurut Peter, keseluruhan jumlah pasaran global merangkumi sebanyak 15 bilion bagi tin aerosol malah di peringkat Asia Tenggara sendiri permintaan telah mencecah kepada lima juta.

Jelasnya, statistik ini membuktikan segmen berkenaan mempunyai potensi besar.

“Kami telah mengeksport sebanyak 18 peratus daripada jumlah pengeluaran syarikat dan DPI Holdings kini sudah berada dalam pelbagai pasaran luar negara termasuk Australia, New Zealand, Singapura dan Indonesia.

“Melangkah ke hadapan, syarikat melihat potensi penawaran produk cat aerosol baharu meliputi pengenalan terhadap warna dan komposisi kimia baharu sebagai usaha memenuhi permintaan pasaran mengikut negara berbeza,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, melihat kepada prospek positif berkenaan, syarikat me­rancang untuk menggandakan kapasiti pengeluaran sekali gus membolehkannya menangani pertumbuhan permintaan daripada pasaran domestik dan juga di luar negara.

“Kami akan membangunkan kilang baharu yang dilengkapi dengan empat barisan pengisian aerosol automatik sepenuhnya.

“Kerja-kerja menaik taraf ini akan dilaksanakan pada separuh pertama tahun hadapan.

“Pelaksanaan berkenaan dijang­ka dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 20 juta tin setahun berbanding jumlah yang dihasilkan seba­nyak 9.7 juta ketika ini,” jelasnya.