KUALA LUMPUR, 6 Ogos 2018 - Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika
 

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (gambar) berkata, jika dibandingkan dengan harga pembelian asal saham, KWSP secara keseluruhannya masih mencatatkan keuntungan.

“Bagaimanapun, saham ber­kenaan tidak dijual, maka keuntungan ini tidak tercatat dan merupakan keuntungan tidak nyata,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Adham Baba (BN-Tenggara) pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat semalam.

Adham meminta kerajaan mengatasi kerugian yang dialami KWSP sebanyak RM6.09 bilion dalam tempoh sebulan.

Guan Eng berkata, merujuk kepada prestasi penyata kewangan pengurusan, adalah tidak benar KWSP mengalami kerugian RM6 bilion dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata, dakwaan itu kurang tepat memandangkan ia berpandu kepada naik turun Indeks FBM KLCI.

“Naik turun indeks FBM KLCI dipengaruhi oleh faktor kecergasan pertumbuhan ekonomi, urus tadbir kewangan yang baik serta kestabilan politik dalam dan luar negara.

“Prestasi Indeks FBM KLCI adalah terbaik tahun ini, di Asia Pasifik yang merangkumi Jepun, Korea, China, ASEAN dan Australia setakat 13 Ogos 2018.

“Malaysia mencatat kenaikan sebanyak 0.04 peratus,” jelasnya.

Guan Eng berkata, penurunan prestasi pasaran saham antara lain disebabkan oleh ketidaktentuan hala tuju pasaran peringkat global yang semakin meningkat termasuk konflik perdagangan, terutama antara Amerika Syarikat dan China, Kanada Mexico dan negara-negara Eropah.

“Selain itu kejatuhan prestasi pasaran saham antara lain berpunca daripada kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat yang telah menyebabkan aliran keluar dana dari negara membangun serta kejatuhan mendadak nilai lira Turki sebanyak 45 peratus sejak 2017 berbanding dolar US disebabkan masalah dalaman,” katanya. – Bernama