“Daripada tinjauan tersebut, saya berazam untuk meningkatkan jenama ini dalam kalangan masyarakat di sini hinggalah ia popular ke seluruh dunia,” kata Pengurus Besar Hard Rock Cafe (HRC) Melaka, Anderson K.Selva.

Bersandarkan kepada pe­ngalamannya dalam bidang perhotelan, makanan dan minuman sejak 20 tahun lalu, beliau berusaha gigih untuk meningkatkan imej HRC bermula dari hari pertama dibuka hinggalah ia me­nyambut ulang tahunnya yang 
ke lima pada akhir bulan lalu.

Kini setelah lima tahun premis beroperasi di sini, ia telah menjadi salah sebuah mercu tanda di negeri bersejarah ini malah mampu menarik minat pelancong asing dan seterusnya menjana pertumbuhan ekonomi negeri.

“Sokongan daripada semua pihak khususnya pemegang saham, kakitangan, peminat tegar jenama HRC dan pengunjung, HRC Melaka kini semakin popular dan ia terkenal dalam kalangan peminat jenama di seluruh dunia malah ada yang sanggup datang dari Eropah, Amerika Syarikat dan negara jiran untuk bertandang ke sini,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Anderson menjelaskan, buah tangan yang dijual di kedai cenderahati di dalam premis berkenaan menjadi satu kemestian bagi pelancong asing dan tempatan untuk membelinya.

Tambah beliau, berdasarkan kepada permintaan yang menggalakkan itu, pihaknya akan memastikan koleksi barangan cenderhati yang dijual di sini sentiasa bertukar baharu dan memenuhi cita rasa pelanggan.

Mengulas lanjut, Anderson yang mengakui berpuas hati dengan pencapaian HRC Melaka kini tetapi mahu melihat ia terus kukuh untuk jangka masa panjang.

Beliau optimis terhadap pertumbuhan jumlah pelanggan ke outlet tersebut bertambah antara lima hingga tujuh peratus setiap tahun dan ini menunjukkan satu kejayaan membanggakan.

“Namun ada lagi usaha promosi yang perlu dipertingkatkan,” ujarnya.

Anderson menjelaskan, HRC Melaka bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan tetapi juga menawarkan satu destinasi menarik buat pelancong tempatan dan asing untuk bersantai, berhibur sambil menjamu selera di dalam sebuah restoran yang eksklusif.

“Pelbagai menu makanan yang lazat dihidangkan dan ia sebenarnya ditawarkan pada harga serendah RM34 satu hidangan.

“Tetapi makanan dihidangkan dalam saiz yang besar dan boleh di kongsi bersama keluarga dan rakan,” jelasnya.