Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhamad Al-Fizan Mat Rodi berkata, buat masa ini, jualan produk tersebut dijual kira-kira 10,000 kotak sebulan melalui rangkaian pengedarannya yang kukuh di seluruh negara.

“Buat masa ini, syarikat memiliki 14,000 pengedar yang mana kebanyakan mereka berniaga secara separuh masa dan sepenuh masa, mendapat manfaat meraih pendapatan yang baik daripada penjualan minuman tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis makan malam dan pengiktirafan buat pengedarnya dari seluruh negara di sini baru-baru ini.

Seramai 40 usahawan De Asia diraikan pada majlis tersebut.

Selain itu, Muhamad Al-Fizan menjelaskan, perancangan syarikat untuk membuka sebuah kafe sulungnya yang berkonsepkan kafe hipster sebagai usaha memberi kelainan dan pengalaman baharu kepada pelanggan bakal direa­lisasikan menjelang awal tahun depan.

Tambah beliau, selain disajikan minuman popularnya, premis yang akan dikenali sebagai Kafe De Asia itu menawarkan menu makanan sihat berasaskan Melayu dan barat.

“Kami merancang untuk menjadikan Kafe De Asia bukan sekadar pengunjung datang minum kopi, namun tempat bersantai sambil melakukan urusan peribadi,” jelasnya.

Syarikat bakal melabur sehingga RM30,000 untuk projek pembukaan kafe berkenaan yang mana ia akan dikendalikan oleh pihak ibu pejabat.