Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Alex Ding Seng Huat berkata, perluasan perniagaan itu tidak hanya tertumpu pasaran domestik tetapi juga peringat antarabangsa dengan mempunyai 50 restoran Harumi di China, Taiwan, Indonesia dan Thailand.

“Kami telah berusaha keras sejak dua tahun lalu untuk meningkatkan ke­sedaran umum terhadap jenama Harumi, di sam­ping mempertingkatkan kehadiran di seluruh Malaysia.

“Dengan cawangan Harumi pertama kami dibuka di Sitiawan, Perak pada tahun 2016, kami kini memiliki sebanyak 220 kios, lima kendera saji dan lapan restoran serta cawangan signatur Harumi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian perjanjian usaha sama antara DBE Gurney de­ngan Farmmesh Food Co. Ltd. (FFCL).

Ia adalah untuk mengembangkan perniagaan Harumi di Thailand.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Kumpulan DBE Gurney, Cheng Lay Miew dan Pengarah Urusan FFCL, Krit Narmkerd.

Perjanjian berkenaan memperlihatkan DBE Resources menerusi subsi­diari milik penuhnya, DBE Poultry Sdn. Bhd. (DBEP) dan FFCL, yang terlibat dalam penternakan dan pemprosesan ayam, me­nubuhkan sebuah syarikat usaha sama, Super Harumi Thailand, dengan pegangan masing-masing 30 peratus: 70 peratus.

Alex berkata, pihaknya berperanan untuk memberi perundingan dan latihan berkaitan penubuhan dan pelancaran perniagaan Harumi di Thailand.

Farmmesh pula mengendalikan aspek pengiklanan dan promosi serta mendapatkan bekalan bahan mentah.

“Kami merancang untuk membuka dua cawa­ngan Harumi di Thailand pada tahun ini dan telah memperuntukkan per­belanjaan modal sebanyak RM500,000 untuk setiap cawangan,” katanya.

Tambah beliau, terdapat perancangan untuk menambah bilangan tersebut kepada 15 menjelang 2020.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Thailand menyediakan potensi perniagaan yang besar bagi syarikat itu, khususnya dengan populasi penduduk yang melebihi 65 juta orang, kira-kira dua kali ganda berbanding rakyat Malaysia.