Pelaksanaan dana tersebut selaras dengan hasrat Dasar Perumahan Negara 2018-2025 dan 1 Juta Rumah Mampu Milik 2018-2028.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Dana BNM yang diperkenalkan sejak 2 Januari lalu itu menyasarkan kumpulan berpendapatan tidak lebih RM2,300 bagi pembelian rumah mampu milik berharga sehingga RM150,000.

“Sehingga kini, kami telah menerima 16 permohonan yang mana lima daripadanya telah diluluskan.

“Baki pula masih dalam pro­ses penilaian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Dana BNM dan portal Rumahku di Sasana Kijang di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Gabenor BNM, Nur Shamsiah Mohd. Yunus serta Pengerusi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Anuar Mohd. Hassan.

Guan Eng menjelaskan, syarikat pemaju perumahan juga dilihat banyak membangunkan rumah mampu milik di kawasan bukan bandar seperti Seberang Perai, Pulau Pinang.

“Sekiranya pelaksanaan Dana BNM mendapat permintaan memberangsangkan, kami akan melanjutkan tempoh sehingga tiga tahun.

“Kami berharap inisiatif ini dapat dimanfaatkan oleh golo­ngan sasar dan berjaya mencapai objektifnya,” jelasnya.

Sementara itu, menurut Nur Shamsiah, dana tersebut dijangka mempertingkatkan kemampuan segmen sasar memiliki rumah pertama dengan kadar pembiayaan yang rendah iaitu sebanyak 3.5 peratus.

“Justeru itu, ia dianggarkan dapat menyumbang kepada ansuran bulanan yang lebih rendah iaitu sebanyak 23 peratus berbanding skim pembiayaan sedia ada.

“Malah, inisiatif berkenaan adalah sejajar dengan komitmen BNM dalam menyediakan perkhidmatan kewangan yang transformatif.

“Bagaimanapun, bagi memastikan pembiayaan rumah terus mampan, kadar pembiayaan rumah perlu mencerminkan kos risiko yang sebenar dihadapi oleh institusi kewangan dengan mengambil kira kos dana, pentadbiran serta risiko kecairan dan kredit pinjaman,” ujarnya.

Dalam pada itu, pemohon wajib mengikuti program pendidikan kewangan yang ditawarkan melalui portal dalam talian de­ngan disertakan penilaian ken­diri lebih mudah dikenali sebagai Rumahku oleh AKPK.

Institusi kewangan yang terlibat dalam inisiatif Dana BNM adalah Ambank, BSN, CIMB Bank, Maybank dan RHB Bank.