KOSMO!: Boleh ceritakan perkembangan terkini perniagaan D'Tandoor?

Abdul Malik: Syarikat sedang giat mempromosikan hidangan bufet Ramadan di restoran kami pada kadar harga RM42.90 seorang dengan pilihan 35 jenis menu makanan yang sentiasa berubah setiap hari.

Selain itu, kami juga bakal membuka satu lagi cawa­ngan restoran D’Tandoor di Phnom Penh, Kemboja yang mana kami kini hanya memiliki outlet berbentuk kios iaitu Mr. Tandoor di sana.

Bagaimana dengan perancangan perniagaan masa depan syarikat?

Kami sedang dalam perbincangan peringkat akhir untuk mendapatkan kontrak membekalkan makanan kepada sebuah syarikat penerbangan antarabangsa dan ia bakal dimuktamadkan pada Jun ini. Ia memberi peluang kepada syarikat meneroka bidang baharu iaitu hidangan dalam pesawat yang mana kebanyakannya berbentuk sejuk beku.

D’Tandoor sedang dalam proses mendapatkan pensijilan Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP) dan buat masa ini, kami belum mempunyai lesen untuk membekalkan makanan ke dalam pesawat. Jadi kami akan bekerjasama dengan pemegang lesen berkenaan buat sementara sebelum memohon lesen daripada pihak berwajib supaya kami boleh berdikari di kemudian hari.

Buat masa ini, kami juga sedang melakukan proses naik taraf dapur pusat kami di Taman Mayang, Kelana Jaya bagi tujuan tersebut dengan pelaburan sekitar RM500,000.

Adakah perubahan baharu yang diperkenalkan dalam industri restoran se­perti larangan merokok dan penggunaan straw plastik mempengaruh perniagaan D’Tandoor?

Saya rasa dua peraturan ini merupakan perkara yang baik. Kami salah satu daripada restoran di Putrajaya yang melopori penggunaan straw kertas dan pelanggan pun tidak boleh merokok di restoran kami.

Cuma bagi pengusaha kopitiam, restoran mamak dan kedai biasa, mereka mungkin lebih terjejas. Secara kebetulan, peraturan ini dikuatkuasakan ketika suasana ekonomi domestik dalam keadaan perlahan dan rak­yat sedang kesempitan jadi mungkin pengusaha merasakan mereka kehilangan pelanggan yang banyak.

Mungkin lebih penekanan dari segi pendidikan diperlukan supaya orang ramai lebih­ sedar apa matlamat sebenar peraturan-peraturan ini.

Sejauh mana faktor ketidaktentuan ekonomi semasa mempengaruh industri restoran di negara ini?

Kebanyakan restoran berhawa dingin dalam segmen pertengahan dan atasan seperti kami memang terasa impaknya daripada kesan ekonomi yang perlahan, ketibaan pelancong yang berkurangan dan perbelanjaan orang awam yang lebih rendah.

Saya rasa ada kemerosotan antara 20 hingga 30 pe­ratus dalam perniagaan dan ia dapat dilihat sejak enam bulan yang lalu.

Hal ini ditambah dengan kos bahan mentah yang semakin meningkat, malah harga air juga dijangka naik.

Apa inisiatif yang perlu dilaksanakan pemain industri untuk menghadapi cabaran ini?

Kita perlu melaksanakan pelbagai kempen, promosi dan idea-idea baharu menerusi media sosial, mi­salnya menawarkan harga dan menu istimewa, dekorasi baharu dan memberikan per­khidmatan tambahan.

­Pengusaha harus bekerja keras, kita tidak boleh duduk diam dan terima kemerosotan ini sebaliknya cari jalan untuk tarik pelanggan.

Pelanggan sedang mencari diskaun, jadi kita adakan program kesetiaan untuk pe­langgan dan beri hidangan tambahan secara percuma kepada mereka. Pelanggan perlu merasakan sekiranya mereka datang ke restoran kita, mereka dapat jimat, dapat nilai yang baik.

Sekitar 70 peratus daripada pelanggan restoran pertengahan dan atasan seperti kami adalah pelanggan tetap. Kalau kita layan dengan baik dengan suasana persekitaran selesa, perkhidmatan dan makanan, mereka akan terus datang.

Bermula daripada pembukaan sebuah restoran di Damansara Utama kira-kira 26 tahun lalu, perniagaan D’Tandoor Food Industries Sdn. Bhd. iaitu pemilik jenama D’Tandoor telah berkembang kepada 15 buah cawangan di lima negara termasuk di Australia, New Zealand, Arab Saudi dan Kemboja.

Selain restoran D’Tandoor yang menawarkan masakan India utara, Melayu dan Arab, syarikat itu turut mengoperasikan perniagaan Mr. Tandoor yang berbentuk kiosk dan perkhidmatan katering Al Malik.