Timbalannya, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah berkata, kerajaan menyedari bahawa industri ekonomi digital merupakan antara pemacu utama bagi pertumbuhan inovasi dan pembangunan negara.

“Bagaimanapun, kerajaan masih dalam proses mengkaji dan saya tidak pasti sama ada kita dapat memasukkannya de­ngan kadar segera dalam pembentangan Bajet 2019 pada 2 November akan datang.

“Kita juga belum mempunyai sebarang keputusan mengenai kadar cukai yang dikenakan.

“Tetapi kami tidak dapat mengetepikannya ke­rana ia akan menyebabkan negara kehilangan pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita majlis pelancaran buku Laporan Ekonomi Digital Malaysia, Pemacu Pertumbuhan Baharu.

Beliau turut merasmikan Persidangan Dasar Awam Dalam Dunia Digital yang berlangsung di Dewan Serbaguna Lanai Kijang, Bank Negara di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Negara Brunei, Malaysia, Filipina dan Thailand World Bank Group, Mara Warwick; Pengarah Negara Malaysia World Bank Group, Firas Raad dan Ketua Ekonomi World Bank Group, Richard Record.

Sebelum ini, Amirudin dilaporkan berkata, kerajaan sedang meneroka sumber hasil pendapatan baharu termasuk mempertimbang untuk me­ngenakan cukai terhadap aktiviti perniagaan yang dijalankan secara online.

Tambahnya, perniagaan online setakat ini tidak dikenakan cukai, jadi pihak kementerian sedang melihat kemungkinan pelaksanaan cukai tersebut.

“Langkah ini adalah antara inisiatif bagi menambah pendapatan dan mengukuh­kan kedudukan kewangan negara,” ujarnya.