Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, langkah itu akan menjadikan CTR Malaysia setara dengan negara lain memandang­kan had semasa adalah terlalu tinggi.

Ia juga tidak menepati saiz ekonomi negara terutamanya apabila berkaitan dengan kuasa beli.

“Oleh itu, sudah tiba masanya kita mencari pendekatan memperkukuhkan kawalan tersebut dalam mengurangkan jenayah kewangan iaitu melalui keperluan CTR,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Jenayah Kewa­ngan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2018 di sini semalam.

Menurut laman web BNM, CTR merujuk kepada transaksi tunai melebihi RM50,000 (atau sebarang jumlah lain yang dinyatakan) melibatkan mata wang fizikal, sama ada domestik atau asing, dan instrumen boleh runding pembawa seperti cek pengembara.

Ia tidak termasuk draf, cek, pindahan elektronik atau pem­biayaan semula dan pembaharuan deposit tetap.

CTR juga termasuk transaksi pengeluaran tunai daripada akaun atau tukaran instrumen boleh runding pembawa bagi tunai.

Pada masa ini hanya institusi perbankan dan kasino berlesen diwajibkan menyediakan CTR.

Nor Shamsiah berkata, susulan pengurangan itu, bank pusat menjangkakan tiada sebarang kesan dari segi aktiviti ekonomi.

Namun, ia dijangka mening­katkan keberkesanan dalam mengawal kegiatan ekonomi di luar sistem pengawalseliaan dan pencukaian yang masih bergantung kepada transaksi tunai.

Beliau menjelaskan, CTR yang lebih rendah juga boleh memperkukuhkan kawalan untuk me­ngurangkan jenayah kewangan kerana pengekalan transaksi tunai dalam kalangan awam serta perniagaan kecil dan sederhana masih tinggi walaupun dengan kemunculan teknologi.

“Ini mendedahkan ekonomi kepada risiko, memandangkan tunai masih digunakan oleh penjenayah sebagai cara untuk melaburkan hasil haram,” katanya.

Beliau menambah, transaksi tunai juga merupakan kaedah pilihan untuk membiayai aktiviti keganasan.

“Justeru, CTR perlu dikemas kini,” tegasnya. – Bernama