Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Pemasarannya, Zaidi Zakaria berkata, setiap cawangan baharu itu bakal menelan kos pelaburan kira-kira RM150,000 hingga RM200,000 bergantung kepada beberapa faktor seperti lokasi, kadar sewa kedai dan juga saiz outlet.

“Semua cawangan baharu ini bakal diuruskan sendiri oleh syarikat dan ia bertujuan untuk memudahkan operasi dan pemantauan terhadap transaksi perniagaan yang dikendalikan ibu pejabat.

“Namun, kami masih menerima perta­nyaan dan cadangan usahawan untuk menjadi francais,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pe­ngenalan minuman terbaharunya iaitu Ultimate White Chocolate dan Strawberry White Chocolate di cawangan syarikat di Melawati Mall baru-baru ini.

Zaidi menjelaskan, buat masa ini syarikat memiliki 300 cawangan di seluruh negara yang mana 50 daripadanya dimiliki syarikat manakala bakinya diuruskan oleh usahawan francais.

Syarikat yang telah berada di pasaran sejak tahun 2008 itu merupakan perintis dalam memperkenal minuman teh tarik bersama blog di pasaran.

Mengulas lanjut, syarikat optimis untuk mencatat pertumbuhan sebanyak 10 hingga 20 peratus pada tahun depan meskipun persaingan sengit dihadapi dalam industri makanan dan minuman.

Jelas beliau, Coolblog memiliki keunikan pasarannya yang tersendiri kerana lebih memberi tumpuan terhadap sub bandar dan kawasan luar bandar de­ngan tawaran harga produk minuman dari RM1.80 hingga RM8 seunit.

Produk minuman syarikat memiliki 27 perisa melibatkan 300 jenis minuman.

“Cawangan terbanyak terdapat di Johor dan kebanyakan outlet kami beroperasi di pasar raya besar dan juga pusat beli-belah yang menjadi tumpuan masyarakat luar bandar.

“Kami juga akan terus membuat kajian untuk memperkenalkan produk minuman bagi memenuhi cita rasa mewah pelanggan pada masa depan,” jelasnya.

Coolblog menawarkan lima pilihan siri minuman untuk memenuhi selera pelanggannya yang pelbagai peringkat umur. Ia terdiri daripada Chocolate Series, Oreo Series, Coffee dan Tea Series, Malaysian Series dan Fruitte Series.

Zaidi menjelaskan, produk yang ditawarkan kepada pelanggan bukan terdiri daripada minuman yang memberi kesan negatif kepada kesihatan kerana pihaknya bersedia memenuhi permintaan pelanggan untuk mengurangkan kadar gula dalam minuman yang dipesan.