Pengurus pemasaran syarikat, Muhammad Mihrab Zain Azman berkata, untuk fasa pertama, syarikat telah membuka sudut jualan barangan ibu dan bayi di cawangan Constant Pharmacy di Puchong, Kota Warisan dan Ampang, Selangor.

Menurut beliau, pembukaan sudut jualan ini bersandarkan kepada permintaan yang tinggi terhadap barangan bayi dan produk keperluan penyusuan bayi pada masa sekarang.

“Pelbagai jenama popular ditempatkan di sudut jualan tersebut dan ia memfokuskan kepada barangan berkaitan penyusuan ibu yang meliputi produk buatan tempatan dan juga luar negara serta dijual pada harga berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran pembukaan sudut jualan ibu dan bayi di cawangan Constant Pharmacy di Puchong baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Bioalpha Holdings Bhd. (Bioalpha), William Hon, Ketua Pegawai Kewangan Bioalpha, Goh Siow Cheng dan Ketua Pegawai Eksekutif Mediconstant Pharmacy Sdn. Bhd., Ow Pak Thung.

Constant Pharmacy yang bekerjasama dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) itu kini memiliki 16 cawangan dan kebanyakannya terletak di Lembah Klang.

Muhammad Mihrab menjelaskan, sempena pelancaran sudut jualan baharu itu, syarikat telah menganjurkan pelbagai program bersama pelanggan yang melibatkan aktiviti, antaranya ialah pertandingan mencari duta bayi, memeriksa tahap kesihatan pelanggan secara percuma serta pertandingan melukis untuk kanak-kanak.

Tambah beliau, seramai 285 bayi daripada pelbagai peringkat umur menyertai pertandingan tersebut dan dibahagikan kepada dua kategori iaitu bayi baru lahir hingga dua tahun dan kategori kanak-kanak berusia tiga hingga lima tahun.

“Hadiah yang ditawarkan kepada pemenang ialah berupa kereta sorong bayi, baucar tunai dan produk bayi,” ujarnya.