Kosmo!: Boleh Datuk ceritakan peranan CIIF secara lebih khusus?

Badlisyah: CIIF me­rupakan satu badan profesional yang mempromosikan tingkah laku dan amalan profesional yang tinggi dalam kala­ngan ahli-ahlinya berpandukan Kod Etika CIIF dan Stan­dard Tata Laku Profesional­ yang berfungsi­ sebagai rujukan utama.

Sesiapa sahaja yang berkecimpung dalam industri kewangan Islam tanpa mengira sama ada bekerja dalam sektor perbankan, takaful, peranca­ngan kewangan, pelaburan atau pengurusan dana sekali pun mempunyai peluang menjadi ahli CIIF.

CIIF menggalakkan setiap mereka yang berkecimpung dalam industri tersebut menjadi ahli bagi memperbaiki diri, meneruskan pembelajaran sekali gus meningkatkan standard profesionalisme mereka.

Bagi mempromosikan tingkah laku dan amalan profesional yang tinggi, CIIF mengadakan pelbagai program untuk setiap ahli bukan sahaja tertumpu kepada perkongsian pengetahuan semata-mata tetapi termasuklah meningkatkan kemahiran seperti pengurusan pe­langgan, kaedah berkomunikasi serta menambah baik hubungan dalam industri.

Apakah yang membezakan CIIF dengan organisasi dalam industri kewa­ngan Islam yang lain?

CIIF adalah satu badan profesional yang menguruskan hal ehwal pekerja dalam seluruh industri tersebut sama ada mereka bekerja di institusi perbankan atau takaful manakala organisasi lain seperti bank serta syarikat taka­ful merupakan pihak yang menjalankan perniagaan kewangan Islam.

Kebiasaannya keah­lian sesuatu badan profesional ialah institusi kewangan Islam itu sendiri tetapi berbeza dengan CIIF ke­rana ahlinya adalah mereka yang bekerja dalam ke­semua institusi tersebut.

Jika menyebut tentang industri kewangan Islam, CIIF adalah satu-satunya badan di dunia ini yang menguruskan hal ehwal­ pekerja dan industri tersebut tetapi jika diban­dingkan dengan industri kewangan konvensional, sudah terdapat pelbagai badan memainkan pe­ranan yang sama tetapi khusus untuk pekerja institusi konvensional sahaja.

Ramai yang berpendapat bahawa industri kewangan Islam hanya tertumpu kepada perbankan Islam tetapi sebaliknya industri tersebut terbuka kepada semua institusi merentasi semua yang terlibat dalam aktiviti kewangan Islam.

Berapakah ahli CIIF ketika ini dan siapakah yang layak menyertai­nya?

Semasa penubuhan awal CIIF pada tahun 2015, ahli kami pada tahun itu seramai kira-kira 240 ahli sahaja sebelum terus bertambah kepada lebih 1,100 pada akhir 2018 dan saya percaya jumlah itu akan terus menunjukkan peningkatan.

Memandangkan CIIF merupakan satu-satunya badan profesional yang menguruskan hal ehwal pekerja dalam industri kewangan Islam di dunia, ahli kami bukan hanya terdiri daripada warga Malaysia sahaja tetapi termasuklah dari beberapa buah negara luar yang lain.

Daripada jumlah ke­seluruhan ahli yang di­miliki CIIF, kira-kira 30 pe­ratus ahli adalah dari luar negara­ seperti Indonesia, Arab Saudi, Pakis­tan, India dan Somalia.

Sesiapa sahaja termasuk pelajar boleh menjadi ahli CIIF tetapi tahap keahliannya berbeza mengikut syarat-syarat dan kelayakan yang telah ditetapkan.

Sebagai contoh, pelajar yang masih menuntut akan diketegorikan sebagai student member manakala bagi mereka yang mempunyai pengalaman kurang dari tiga tahun digelar sebagai junior associate dan bagi yang melebih tempoh itu adalah senior associate.

CIIF turut memper­kenalkan kelayakan Ahli Profesional Bertauliah dalam Kewangan Islam (CPIF) kepada ahli-ahli yang berjaya melepasi empat tahap kelayakan yang ditetapkan.

Setelah menjadi ahli, adakah ia memberi kesan yang baik kepada perkembangan kerjaya mereka?

Menjadi ahli CIIF bukan sahaja membantu mereka yang terlibat agar lebih fokus dan beretika malah, tahap-tahap keahlian yang diperolehi boleh berfungsi sebagai kelayakan profesional yang boleh digunakan di belakang nama mereka.

Dalam industri kewa­ngan secara amnya dianggarkan terdapat seramai 200,000 orang di seluruh Malaysia manakala dalam industri kewangan Islam pula kira-kira sebanyak 20,000 orang.

Bagaimanakah Datuk melihat pemahaman masyarakat terhadap etika kewangan Islam?

Bercakap mengenai kewangan konvensional atau Islam, kedua-duanya sama iaitu mementingkan etika dan tahap profesional yang tinggi tetapi perkara yang membezakannya adalah pematuhan terhadap prinsip syariah iaitu asas amalan kewangan Islam.

Kaitan antara Syariah dan prinsip yang termaktub dalam etika dan tahap profesional itu juga menandakan keperluan bagi profesional untuk berperi­kemanusiaan serta berempati dalam memenuhi tugas dan tanggungjawab mereka.

Semua orang faham bahawa kita perlu mempu­nyai nilai etika yang tinggi dan terbaik tetapi sebelum ini belum pernah ada satu badan profesional yang boleh memastikan kepatuh­an itu mengikut prinsip syariah.

CIIF bukan sahaja mampu­ memastikan kepatuhan setiap ahli-ahli mengikut kod dan etika yang ditetapkan tetapi dalam masa sama, men­jadi tempat rujukan de­ngan akses maklumat yang lebih luas kepada mereka yang berdepan dengan kemusykilan.

Adakah CIIF mempu­nyai perancangan baharu­ untuk mening­katkan lagi kualiti perkhidmatan?

Memandangkan CIIF turut mempunyai ahli dari luar negara, kami mempunyai perancangan untuk membuka cawangan di negara lain bagi memudahkan penjagaan hal ehwal ahli dan mengadakan program-program di sana.

Ahli-ahli CIIF datang daripada kira-kira 30 buah negara dan disebabkan itu kami melihat adanya kepentingan untuk membuka chapter di negara-negara tersebut.

Dalam tempoh 12 bulan dari sekarang, CIIF me­rancang untuk menubuhkan lima atau enam chapter sekurang-kurangnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai CIIF, sila layari laman rasmi badan profesional tersebut di https://ciif-global.org/web/.