Chatime Malaysia merupakan anak syarikat milik penuh Will Group Sdn. Bhd. Jenama Chatime memasuki Malaysia pada tahun 2011 dan pemilik jenama global Chatime ialah La Kaffa International Co. Ltd. (La Kaffa).

Pengarah Urusan Chatime Malaysia, Aliza Ali berkata, sebagai sebuah jenama minuman gaya hidup, Chatime perlu bergerak lebih progresif seiring dengan perubahan teknologi terkini serta memenuhi kehendak pasaran semasa.

“Kami yakin dengan pe­ngenalan aplikasi ini nanti, ia mampu menarik minat lebih ramai golongan millenia dalam mendapatkan produk Chatime kerana ia lebih mudah, ringkas dan dekat de­ngan gaya hidup mereka.

“Chatime Malaysia turut mengunjurkan sumba­ngan sebanyak 30 peratus kepada jualan syarikat menerusi pengenalan aplikasi ini dalam tempoh setahun pelancarannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Kosmo! ketika ditemui di cawangan baharu Chatime di pusat beli-belah The Mines, Seri Kembangan di sini baru-baru ini.

Menerusi aplikasi tersebut, pelanggan antaranya boleh memilih minuman tersenarai dalam menu yang disediakan dan menetapkan masa serta lokasi lokasi (mana-mana cawangan Chatime) untuk mengambil minuman dipesan.

Sementara itu, menurut Aliza, dalam usaha meningkatkan penguasaan pasaran bagi segmen minuman gaya hidup di Malaysia, Chatime akan membuka empat buah cawangan baharu di Sabah sebelum akhir tahun ini.

“Kami memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM400,000 hingga RM600,000 bagi setiap cawangan yang akan dibuka dua buah rangkaian di Kota Kinabalu, Sandakan (1) dan Tawau (1).

“Banyak permintaan diterima untuk mengembalikan produk Chatime di Borneo justeru itu, pembukaan di Sabah sekali gus melengkapkan laluan strategi jenama bagi pasaran di sini,” jelasnya.

Chatime Malaysia turut merancang untuk menambah kepada 150 buah cawa­ngan di Malaysia pada tahun hadapan berbanding 40 cawangan ketika ini.

Syarikat turut bercadang untuk meneroka pasaran Singapura serta Arab Saudi pada tahun 2019.