Telenor Group dari Norway itu memiliki kepentingan 49 peratus dalam Digi.

Menurut makluman Axiata kepada Bursa Malaysia di sini semalam, cadangan tersebut akan dilaksanakan di bawah satu entiti global yang digabungkan iaitu (mergedco).

Menurutnya, kedua-dua syarikat tersebut akan berusaha untuk memuktamadkan perjanjian itu dalam tempoh suku ketiga tahun ini.

Melalui cadangan tersebut, Telenor bakal menjadi pemegang saham majo­riti MergedCo global dengan jangkaan pemilikan ekuiti 56.5 peratus, manakala 43.5 peratus oleh Axiata.

Axiata menjelaskan, menerusi cadangan itu, kedua-dua pihak telah menetapkan hasrat untuk menyenaraikan MergedCo di Bursa Malaysia, dan satu lagi bursa antarabangsa utama dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Mengulas mengenai cadangan tersebut, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata, penggabungan ini adalah antara yang paling menonjol dalam sejarah industri telekomunikasi di Asia dan korporat Malaysia.

“Entiti yang baru bergabung itu akan membolehkan syarikat melonjak kepada Axiata 4.0 untuk menguasai momentum global Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) dan berkembang melangkaui mudah alih ke Jalur Lebar, Digital, 5G, IOT, AI dan Penyelesaian.

“Syarikat bergabung itu akan secara aktif menyokong aspirasi kerajaan untuk menarik organisasi bertaraf dunia,” jelasnya.

MergedCo akan mengawal operasi anak-anak syarikat di sembilan negara dengan gabungan penduduk lebih satu juta dan 300 juta pelanggan. – Bernama