HHKL yang merupakan hotel terbesar dunia yang membawa jenama Hyatt House memiliki 298 buah bilik penginapan, tiga buah restoran dan kemudahan lain seperti kolam renang dan gimnasium yang beroperasi 24 jam sehari.

Ia merupakan sebahagian dari­pada komponen pembangun­an UEM Sunrise di Mont’ Kiara, Arcoris yang memiliki nilai pembangunan kasar sebanyak RM1.2 bilion.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, HHKL merupakan pelengkap bagi pembangunan hartanah di Mont’ Kiara dan ia merupakan peluang bagi syarikat untuk mene­roka segmen yang menawarkan pendapatan baharu.

“Namun fokus UEM Sunrise pada tahun 2019, adalah kepada perniagaan teras iaitu sebagai pemaju hartanah.

“Di Puteri Harbour, Johor mi­salnya, terdapat keperluan untuk lebih banyak bilik hotel dengan pembangunan pelbagai fasiliti baharu.

“Sekiranya kami meneruskan pelan untuk membina pusat konvensyen di sana, terdapat keperluan untuk hotel baharu, sehubungan itu, kami akan me­nunggu peluang dan rakan kongsi yang tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran HHKL di Mont’ Kiara di sini semalam.

Turut hadir Naib Presiden Rantau Hyatt Place/Hyatt House Asia Pasifik, Michael Koffler.

Menurut Anwar, kesemua unit dalam komponen pembangunan Arcoris telah habis dijual namun pihaknya masih mempunyai beberapa bidang tanah untuk dimajukan di kawasan Mont’ Kiara.

Sementara itu, Michael Koffler menjelaskan, keistimewaan HHKL ialah ia merupakan hotel yang berkonsep kediaman dan disasarkan kepada tetamu yang mencari bilik untuk disewa bagi tempoh yang lama.

“Ia mungkin sebulan, malah setahun jadi setiap bilik kami memiliki dapur yang lengkap selain kemudahan lain seperti mesin basuh malah pencuci pinggan bagi keselesaan pelanggan yang mahu menginap dalam tempoh yang panjang,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya kini memiliki 80 projek di rantau Asia Pasifik dalam pelbagai fasa dari peringkat perbincangan sehingga dalam proses pembangunan.

“Kami melihat Kuala Lumpur sebagai lokasi yang amat menarik, ia dibuktikan dengan pelancaran Hyatt House terbesar dunia di sini,” katanya.