Diterajui oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), penyertaan syarikat-syarikat tempatan itu turut mencatatkan jualan keseluruhan seba­nyak RM367.1 juta.

Pengarah Gaya Hidup dan Sains Kehidupan Matrade, Abu Bakar Yusof berkata, syarikat-syarikat Malaysia yang menyertai acara perdagangan tersebut sebahagian besarnya adalah daripada sektor peranti perubatan.

Mereka menawarkan produk-produk seperti penjagaan luka, graf tulang sintetik, pembasmi kuman, perabot hospital dan sarung tangan perubatan.

“Eksport Malaysia bagi segmen peranti perubatan merekodkan pencapaian bersejarah pada tahun 2017 iaitu RM19.78 bilion, meningkat 24.9 peratus berbanding tahun sebe­lumnya.

“Peningkatan seum­pama ini sebahagiannya didorong oleh penyertaan Matrade dalam acara berskala besar seperti Arab Health.

“Tahun ini merupakan tahun ke-14 kita menyertai acara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam.

Menurut Abu Bakar, acara Arab Health melibatkan lebih 4,200 pempamer dari lebih 150 negara, yang mana perbelanjaan penjagaan kesihatannya dijangka mencecah RM780 bilion menjelang tahun 2020.

“Bagi Matrade, kami percaya penglibatan dalam acara seumpama ini dapat meningkatkan potensi sektor peranti perubatan Malaysia dan membolehkan syarikat berkembang lebih baik untuk tahun-tahun akan datang,” ujarnya.

Arab Health 2018 berlangsung di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dari 29 Januari hingga 1 Februari lalu.