Ketua Pegawai Tek­nologi dan Pengasas Bersamanya, Lucas Ngoo (gambar kecil) berkata, antara langkah dirancang ialah membuatkan kaedah pembelian dan penjualan yang lebih mudah kepada pelanggan, terma­suk me­­ningkatkan keyakinan dan ke­selamatan pasaran, pembayaran demi fasa pembangunan yang seterusnya.

“Selain itu, kami juga sedang membangunkan pengalaman yang lebih pintar menerusi Classified 4.0, mengekperimentasi dengan pembelajaran mesin dan kepintaran buatan bagi mempertingkatkan sistem dan pemprosesan kami.

“Pada masa ini, apli­kasi Carousell membenarkan pelanggan me­ngambil gambar barangan yang ingin dijual, menyenaraikannya dan menjual dalam tempoh 30 saat.

“Namun menerusi teknologi ini, ia akan memendekkan masa itu kepada hanya tiga saat,” katanya dalam satu temu ramah menerusi e-mel bersama Kosmo! baru-baru ini.

Lucas menambah, bagi tahun 2018, pihaknya juga akan menggiatkan usaha untuk mendekati dan berhubungan dengan komuniti bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi juga di bandar-bandar lain seluruh Malaysia.

Selain itu, beliau memberitahu, aspek pembayaran merupakan sebahagian daripada agenda Carousell yang perlu dititikbe­ratkan.

Sehubungan itu, pihaknya telah mewujudkan sebuah Pusat Pembangunan Carousell di Taiwan yang mana ia berperanan untuk memudahkan urusan pembangunan.

“Kami sedar kebanyakan pelanggan telah meminta agar kami membangunkan platform pembayaran tersendiri, oleh itu kami akan terus mencari cara bagaimana untuk memanfaatkan teknologi bagi memperbaiki pengalaman menyeluruh pe­langgan Carousell,” kata beliau.

Dilancarkan pada tahun 2012, Carousell yang berpangkalan di Singapura, kini mempunyai kehadiran di 19 buah bandar di tujuh buah negara termasuk Malaysia, Indonesia, Taiwan, Hong Kong dan Amerika Syarikat dengan lebih 80 juta penyenarai­an barangan untuk dijual.

Di Malaysia, lebih 11.4 juta barangan disenaraikan di pasaran Carousell dengan lebih 3.6 juta item terjual.

Ia termasuk pakaian, kereta, peranti, perabot, aksesori kenderaan dan barangan kelengkapan rumah dengan lebih 54 peratus daripada penggunanya merupakan mereka yang ber­usia 25 tahun ke atas.