MAHB berkata, sebahagian besar jumlah aliran trafik penumpang berkenaan didorong oleh sektor antarabangsa yang me­ningkat sebanyak 14.6 peratus kepada 49.5 juta penum­pang, manakala sektor tempatan pula mencatatkan 47.1 juta penumpang, penambahan 3.1 peratus berban­ding 2016.

Katanya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor merekodkan sejumlah 58.6 juta penumpang pada 2017, naik 11.5 peratus dari tahun sebelum.

“KLIA menguruskan 28.3 juta penumpang, 11 peratus lebih tinggi berbanding 2016, sementara KLIA2 mengendalikan 30.3 juta penumpang, masing-masing mencatatkan pertumbuhan 11 dan 11.8 peratus berbanding 2016.

“KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah adalah antara lapangan terbang yang mencatatkan pertumbuhan pergerakan penum­pang sebanyak dua angka,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini semalam.

Menurut MAHB, lapangan terbang lain yang turut mencatatkan pertumbuhan positif adalah di Kuching, Langkawi, Kota Bharu, Melaka, Tawau dan Bintulu.

Sementara itu, pergerakan pesawat di lapangan terbang di Malaysia secara ke­seluruhan meningkat sebanyak 4.5 peratus pada 2017.

“Pergerakan pesawat antarabangsa naik 11 peratus.

“Selain itu, sektor tempatan (0.7 peratus) dengan purata faktor muatan secara keseluruhan sebanyak 76 peratus, tertinggi sejak 2012,” katanya.

Di sebalik peningkatan tinggi pergerakan pesawat antarabangsa, MAHB menambah, purata faktor muatan untuk sektor antarabangsa juga tertinggi de­ngan mencapai 77 peratus.

“Pergerakan kargo pula meningkat 7.9 peratus kepada 955,936 tan, pertumbuhan positif pertama sejak 2014,” ujarnya.

Dengan persekitaran ekonomi yang kukuh dan pertambahan penawaran kapasiti tempat duduk pesawat, pengendali lapangan terbang itu berkata, aliran trafik penumpang di Malaysia bagi tahun ini dijangka seramai 103.7 juta penumpang.

Ia melebihi angka memberangsangkan yang dicapai pada 2017.