Menyajikan lebih 100 jenis dim sum, premis yang telah beroperasi sejak Jun tahun lalu itu dibuka pada pukul 7 pagi hingga 2 petang dan ditutup pada hari Rabu.

Menurut pemiliknya, Ceylyn Tay, dim sum yang dimakan pada waktu pagi biasanya dinikmati secara berkumpulan dalam suasana santai dan pelanggan boleh memesan mengikut selera masing-masing.

“Antara yang diminati ialah se­­t empat jenis dim sum campuran isi ayam atau udang, Shanghai Chicken Dumpling yang di dalamnya diisi sup, kuih lobak goreng dan chee cheong fun.

“Pelanggan juga boleh memesan sembilan jenis pau, bubur lima jenis rasa yang dimasak menggunakan lima jenis beras. Kami juga menyajikan hidangan yang diberi nama jeli maharani iaitu hidangan untuk isteri raja pada zaman kuno,” ujarnya.

Set dim sum dan pelbagai makanan lain di sini dijual pada harga antara RM2.80 hingga RM25 mengikut jenis.

Tidak lengkap kunjungan pelanggan ke sini jika tidak memesan kopi Ipoh Canning Garden sama ada sejuk atau panas yang merupakan signature restoran ini.

Premis yang dahulunya sebuah banglo itu boleh memuatkan sehingga 130 orang pada satu-satu masa selain ruang makan di luar restoran.

Tambah Ceylyn, dim sum yang disajikan di dalam bekas buluh itu dihasilkan di kilang milik syarikatnya yang terletak di Kinta Jaya di sini.

“Kami juga mempunyai cawangan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Selain itu, kami turut merancang untuk membantu golongan yang berminat untuk membuka perniagaan dim sum,” katanya.

Selesai menjamu selera, pengunjung boleh mengabadikan kenangan dengan merakam foto di premis itu kerana lanskapnya yang cantik de­ngan bekas-bekas buluh untuk dijadikan hiasan.