Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Ali Ikhwan Mohd. Noordin berkata, menerusi kempen beli sambil menderma itu, sebanyak 10 peratus daripada jualan akan disumbangkan kepada Autism Cafe Project.

“Kempen ini diadakan de­ngan kerjasama jenama tudung, Fellora Scarf, Sherry Scarves dan Autisme Cafe Project serta melibatkan 12 jenama fesyen ter­kenal yang dijual di Butik Wardia.

“Inisiatif ini memupuk ke­sedaran orang ramai terhadap kemampuan remaja dalam industri pekerjaan dan pada masa sama, menyumbang terhadap program pembangunan remaja dan kanak-kanak autisme,” ­katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis pelancaran kempen Jualan Amal Bulan Autisme Sedunia Wardia di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengasas Fellora Scarf, Syarifah Rosaliza Syed Othman; Pengasas Wacana ­Autism, Mumtazah Mustajab; Pengasas Sherry Scarves, Sherry Ibrahim dan Pengarah AutismCafe Project, Mohd. Adli Yahya.

Ali Ikhwan menambah, antara jenama terkenal yang turut terlibat dalam kempen itu adalah Marshmallow Scarf, Sofearose, Qaalbee, iBawal, Abam Brand dan Madrehermosa.

Autism Cafe Project merupakan projek kafeteria yang menjadi tempat remaja istimewa mendapat latihan kemahiran hidup.

Inisiatif itu bermula di iM4U Sentral, Puchong pada tahun 2016 dengan objektif utama penubuhannya adalah untuk membantu dan membimbing anak muda autisme berdikari serta memperoleh pendapatan selain membina kerjaya untuk diri sendiri.

Orang ramai yang ingin menjayakan kempen tersebut boleh menyumbang dengan membeli barangan di Butik Wardia, Melawati Mall dekat sini sehingga 30 April ini.