Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, kadar lapan peratus tersebut bersamaan kira-kira RM104 juta daripada nilai keseluruhan KDNK tahunan sebanyak RM1.3 trilion.

Beliau menambah, penglibatan bumiputera dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut mencatat lapan peratus daripada keseluruhan perolehan tahunan RM45 bilion melalui sektor tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan melakukan pelbagai inisiatif serta program bantuan keusahawanan PKS Bumiputera terutama kelompok B40 bagi meningkatkan peratusan tersebut.

"Memperkasa keseluruhan bumiputera dalam keusahawanan juga adalah bermakna untuk (menjana) sumbangan mereka kepada pertumbuhan KDNK negara," ujar beliau ketika Konvensyen Memperkasakan Usahawan Bumiputera di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Hadir sama pada konvensyen disertai lebih 900 usahawan sekitar Pahang itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Wan Suraya Wan Mohd. Radzi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah serta Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Mohd. Redzuan menambah, kementeriannya sedia membantu Bumiputera yang menghadapi kelemahan untuk meraih peluang yang lebih besar dalam ekosistem perniagaan.

"Jika pengimport mahu 100,000 ekor ayam setiap hari, adakah usahawan bumiputera mampu memenuhi permintaan itu? Kita perlu beri lebih persediaan kepada usahawan supaya dapat memenuhi permintaan," tambahnya. - K! ONLINE