Faridah pada majlis pelancaran buku karyanya sendiri di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau yang juga Presiden Annems Leadership Solution Sdn. Bhd. berkata, buku tersebut diharap dapat memberi ilham dan menjadi pencetus semangat buat usahawan yang sedang menghadapi masalah dalam perniagaan.

“Saya mahu jadikan buku ini sebagai wakil diri kepada usahawan yang berada dalam kesedihan, ketakutan, kebimbangan dan memerlukan kata-kata semangat daripada saya meskipun saya dan mereka tinggal berjauhan,” katanya di sini baru-baru ini.

Faridah yang lebih dikenali sebagai Ibu Hanim menjadikan buku Melakar Visi Menjadi Realiti sebagai platform bagi menceritakan mengenai kehidupannya yang lalu, berdepan dengan pelbagai suka duka, kesakitan dan dugaan selain menjelaskan mengenai kejayaan yang dicapainya selama ini.

“Saya berpendapat adalah menjadi satu kerugian buat diri saya jika tidak menghasilkan sebuah buku yang padat dengan pelbagai kisah mengenai diri saya yang dianggap sebagai pejuang dan mahu menjadikan ia sebagai inspirasi, motivasi kepada usahawan serta generasi muda.

“Saya mahu apabila usahawan yang sedang menghadapi masalah dan menganggap diri me­reka gagal akan memetik kata-kata semangat dalam buku tersebut sebagai penyuntik idea baharu untuk mereka kembali berusaha,” jelasnya.

Tambah beliau, buku yang berjaya disiapkan dalam tempoh enam bulan itu dijual secara online dan melalui ejen serta bakal ditawarkan di kedai buku bagi membolehkan lebih ramai pembaca memilikinya.

Syarikat dijangka mencetak antara 5,000 hingga­ 7,000 naskah buku tersebut di­tawarkan pada harga RM50 seunit dan bakal berada di pasaran selepas Aidilfitri ini.