Naib Pengerusinya, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata, hasil buah kelapa sawit dari tanah itu dijangka menjana pendapatan tambahan sebanyak RM55 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.

“Syarikat menyasarkan untuk meningkatkan hasil tandan buah segar (FFB) di tanah Sugut kepada 17 tan setiap hektar dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, berbanding 11 tan setiap hektar pada masa ini.

“Kami akan laksanakan apa yang telah kami lakukan di Ladang G&G kami di Sabah iaitu hasil FFB naik kepada 22 tan setiap hektar dalam tempoh dua tahun, meningkat daripada 17 tan setiap hektar sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyua­rat agung tahunan (AGM) dan mesyuarat­ agung luar biasa (EGM) syarikat itu di sini semalam.

Mengenai pembelian tanah di Sugut, Lodin berkata, syarikat telah mengewangkan tanah Malakoff Corporation Bhd. (Malakoff) seluas 809.37 hektar di Pulau Pinang pada nilai hampir RM700 juta untuk membeli tanah tersebut.

“Tanah itu hanya menjana hasil sebanyak RM7.4 juta dan dengan wang daripada penjualan tanah itu, kami membeli tanah Sabah ini yang kami menjangka dapat menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM55 juta,” katanya.

Mengenai masa depan, Lodin tidak menolak kemungkinan BPlant akan mengewangkan lebih banyak aset untuk memastikan pendapatan dan keuntungannya mampan.