Anugerah berkenaan dikurniakan bagi meraikan inisiatif transformasi digital tempatan terbaik pada masa sama menghargai pencapaian penerima di atas kejayaan tersebut menerusi penggunaan teknologi digital dan disruptif.

“Kami cukup gembira namun tetap ingin bersikap rendah diri bagi menerima pengiktirafan Anugerah Penggugat Digital 2018 ini.

"Pendekatan kami adalah untuk mewujudkan satu perkhidmatan berteraskan pengguna yang menawarkan penyelesaian digital lebih lancar, ringkas dan mudah," kata Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Christopher Tiffin menerusi satu kenyataan akhbar hari ini. 

Boost diasaskan pada tahun 2017, merupakan satu aplikasi mudah alih dompet (e-dompet) gaya hidup yang dibangunkan sepenuhnya oleh syarikat tempatan.

Kini Boost telah menjadi pelopor utama dalam penggunaan e-dompet dengan memiliki seramai 3.2 juta pengguna yang melibatkan sebanyak 43,000 titik sentuhan dalam dan luar talian seluruh negara.

Sebagai pemenang tempatan, Boost bakal mewakili Malaysia ke Anugerah Asia Pasifik yang diadakan di Singapura pada 25 Oktober ini.

Menurut Tiffin, fokus utama syarikatnya adalah untuk memahami titik kesusahan harian pengguna dan menyelesaikannya melalui pendigitalan tunai dan perkhidmatan.

Boost bermula daripada mendigitalkan perkhidmatan telekomunikasi melalui pembaharuan tambah nilai prabayar menggunakan aplikasi sebelum berkembang menjadi e-dompet sepenuhnya.

Kini ia menawarkan pelbagai fungsi pengguna seperti imbas dan bayar di premis perniagaan, membayar bil-bil utiliti dan parkir, pindahan duit P2P, “Go Dutch” untuk pembahagian bil, derma, hadiah dan “Shake Rewards”.

"Kami percaya transformasi digital adalah faktor penting dalam revolusi industri ke-4 yang akan memacu pertumbuhan ekonomi, pekerjaan, pembangunan dan kesejahteraan.

"Jadi kami akan terus mencabar diri sendiri untuk meningkatkan pengalaman pengguna menerusi ekosistem yang lebih relevan dan inklusif," ujar Tiffin.

Dalam pada itu, Pengurus Penyelidikan Kanan, Kumpulan Penyelidikan Perisian IDC ASEAN, Baseer Siddiqui berkata, semasa menentukan pemenang kategori berkenaan, pihaknya mencari organisasi yang menjadi peneraju dalam ekosistem serta menjadikan pelanggan sebagai dorongan utama mereka, berani mengambil risiko, menjadikan teknologi dan data sebagai nyawa organisasi.

"Paling penting, organisasi itu perlu menunjukkan keupayaan mengubah sikap pengguna di alam digital.

"Dalam kalangan penyedia pembayaran digital, Boost berjaya mempengaruh pengguna untuk beralih kepada penggunaan pembayaran mudah alih," jelasnya.

Pengguna Boost turut telah meningkat daripada 810,000 pada Januari kepada tiga juta pada Ogos lalu di mana ia berjaya mencatat peningkatan sebanyak 270 peratus dalam tempoh lapan bulan. - K! ONLINE