Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Keiichi Yasuda berkata, ketiga-tiga model tersebut akan berada di pasaran selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Menurut beliau, sasaran jualan bagi model Super Cub C125 adalah sebanyak 300 unit untuk tahun ini, manakala bagi dua lagi model adalah masing-masing 50 unit.

“Pengenalan model Super Cub C125 di pasaran tempatan ini berikutan maklum balas yang diterima daripada pelanggan untuk membawa model tersebut ke dalam pasaran Malaysia.

“Oleh itu, kami yakin model ini akan menjadi pilihan kepada pengguna bagi segmen motosikal ‘kapcai’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran tiga model baharu Honda di sini semalam.

Model Super Cub C125 dijual pada harga runcit RM13,999, manakala CB 1100 RS berharga 75,999 dan CBR 1000RR Fireblades SP RM114,999.

Kesemua harga tersebut tidak termasuk insuran dan cukai jalan.

Selain itu, mengulas mengenai jualan motosikal Honda tahun lalu, beliau berkata, Boon Siew Honda telah merekodkan prestasi jualan yang cemerlang iaitu kira-kira 156,000 unit motosikal telah dijual.

“Jumlah jualan Boon Siew Honda pada tahun 2018 naik sebanyak 28.7 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya 121,000 unit terjual.

“Pretasi yang memberangsangkan ini turut meningkatkan peratusan perkongsian pasaran motosikal dari 26 peratus pada tahun 2017 kepada 30 peratus pada tahun lepas.

“Bagi tahun ini kami yakin pertumbuhan jualan turut meningkat kepada dua digit dan turut me­ningkat berbanding tahun lalu,” jelasnya.