Mohd. Hisham: Idea pembukaan Boat Noodle pada mulanya berasaskan daripada pengalaman pe­ngasas Boat Noodle, Tony Lim yang sering me­nikmati hidangan Thailand memandangkan beliau sering ke Bangkok.

Semasa menikmati hidangan di sana, beliau mendapati bahawa hidangan tersebut mampu­ memenuhi cita rasa masyarakat Malaysia lantas bercadang untuk membawa menu tersebut ke negara ini.

Bermula daripada situ, beliau mula mengolah dan mencari pembekal yang boleh menyediakan ­bahan-bahan halal agar dapat dinikmati oleh ­semua orang.

Cawangan pertama Boat Noodle ialah di pusat beli-belah Empire Damansara. Pada mulanya, pasukan kami menyangkakan bahawa hidangan itu hanya­ mampu menarik minat pelanggan kaum Cina. Namun, selepas beberapa bulan dibuka restoran tersebut menerima ramai pelanggan daripada pel­bagai kaum.

Ramai yang menyangkakan bahawa Boat Noodle merupakan perniagaan berasal dari Thailand tetapi sebenarnya ia adalah hasil perusahaan anak tempatan.

Apakah proposisi penjualan unik Boat Noodle?

Umum mengetahui bahawa keunikan utama Boat Noodle adalah meng­hidangkan mi dalam mang­kuk-mangkuk kecil. Ka­edah ini sebenarnya te­lah lama diaplikasikan oleh peniaga-peniaga di pasar terapung sekitar Bangkok.

Kebanyakan peniaga di pasar terapung berniaga di dalam bot dan mereka menyerahkan hidangan kepada pelanggan menggunakan alatan khas yang diperbuat daripada kayu.

Disebabkan itu mereka tidak menghidangkan dalam bentuk yang besar kerana ia akan menjadi lebih berat serta menyukarkan peniaga.

Perkara yang menjadi keutamaan di Boat Noodle adalah kami mahu mengekalkan tradisi supaya hidangan tersebut kekal autentik seperti mana di Thailand menyebabkan hidangan dalam mang­kuk kecil dikekalkan. Ia juga me­nguntungkan pe­langgan kerana mereka boleh mencuba pelbagai hidangan dalam satu masa.

Budaya menyusun mang­kuk secara bertingkat bermula semasa fasa awal perniagaan kerana kami hanya menyediakan meja-meja kecil di Boat Noodle.

Jadi, apabila pelanggan memesan hidangan yang banyak, mereka mula menyusun mangkuk agar mendapat ruang lebih luas dan akhirnya ia menjadi trend serta keunikan tambahan di Boat Noodle.

Menu di Boat Noodle sering bertambah atau berubah ketika musim tertentu seperti musim perayaan. Adakah ia salah satu daripada strategi Boat Noodle?

Boat Noodle mempu­nyai kumpulan penyelidikan dan pembangunannya sendiri. Pasukan ini akan sentiasa bekerjasama de­ngan seluruh organisasi untuk mengenal pasti hidangan Thailand yang sesuai untuk dibawa dalam pasaran tempatan.

Menu-menu yang diperoleh itu biasanya akan dikeluarkan untuk tempoh masa yang terhad seperti hidangan Ratchada Dulang sempena Ramadan lalu.

Selain hidangan bermusim, Boat Noodle juga dalam perancangan untuk menyediakan hidangan yang bukan sekadar dari Bangkok tetapi diinspirasikan daripada masakan utara dan selatan Thailand.

Bercakap soal persai­ngan, tidak banyak restoran yang menawarkan hidangan berkonsepkan mangkuk kecil seperti Boat Noodle.

Oleh itu, kami menetapkan untuk bersaing de­ngan diri sendiri dan di­sebabkan itu setiap bulan pihak Boat Noodle akan menjalankan pemeriksaan kualiti berserta penilaian.

Boat Noodle akan mengkaji dan mengeluarkan menu baharu bukan sahaja untuk satu peringkat umur sahaja tetapi bersesuaian untuk semua. Ternyata, ia mampu­ menarik lebih ramai pe­langgan.

Adakah Boat Noodle mempunyai perancangan baharu dalam mengembangkan lagi perkhidmatan yang di­tawarkan?

Boat Noodle mempunyai perancangan untuk mempunyai 75 ca­wangan menjelang tahun 2022 dan ketika ini kami sudah mempunyai lima cawangan di luar negara iaitu dua di Singapura dan setiap satu di Brunei, Indonesia dan Myanmar.

Selain itu ramai yang tertanya-tanya tentang status perniagaan Boat Noodle sama ada ia adalah sebuah francais atau tidak.

Ketika ini, Boat Noodle bukanlah perniagaan francais dan kesemua 48 cawangan itu diuruskan sendiri oleh syarikat tetapi­ dijangkakan pada bulan ini, Boat Noodle akan mendapat lesen untuk menjalankan perniagaan francais.

Tujuan Boat Noodle menceburi perniagaan francais adalah untuk menggalakkan usahawan-usahawan tempatan dan pada masa yang sama meluaskan lagi pasaran ke daerah-daerah lain di setiap negeri.

Bagaimana pula de­ngan isu halal, adakah ia menjadi isu?

Sebagai pihak yang terlibat dalam industri makanan dan minuman, isu halal adalah perkara utama yang sering diberi perhatian serta menjadi keutamaan.

Walaupun bahan-bahan yang digunakan Boat Noodle berasal dari negara Thailand, kami telah menjalankan pemeriksaan dan mendapatkan bekalan daripada pengedar-pengedar yang menyediakan bahan halal sahaja.

Boat Noodle sememang­nya sudah mendapat sijil pengiktirafan halal bagi dapur utama termasuklah bahan-bahan dan makanan yang disediakan cuma cawangan-cawangan­ yang masih berada dalam proses mendapatkan sijil halal.

Setakat ini sebanyak dua cawangan sudah mendapat sijil halal iaitu di pusat beli-belah Citta dan One Utama.

Terdapat perbezaan antara pengiktirafan ­halal bagi makanan dan ca­wangan. Bagi aspek makanan, pelanggan tidak perlu risau kerana ia sudah mendapat kelulusan. Bagi peringkat cawangan kami, halal meliputi semua aspek dari segi kebersihan, tempat penyimpanan, susun atur restoran dan juga penyediaan.

Hal ini mungkin mengambil sedikit masa namun kami akan memastikan setiap cawangan akan mendapat pengik­tirafan halal.

Boat Noodle telah be­kerjasama dengan baha­gian hab halal bagi memastikan setiap yang dilakukan menepati spesifikasi yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.