BNM dalam satu kenyataan berkata, pada kadar semasa OPR, tahap akomodatif dasar monetari adalah sejajar dengan pendirian dasar yang ditetapkan.

“MPC akan terus memantau dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi,” kata kenyataan terebut di sini semalam.

Bank Pusat menjelaskan, gangguan bekalan yang dihadapi sektor perlombongan dan pertanian telah menyebabkan pertumbuhan ekonomi yang le­bih sederhana pada suku kedua 2018.

“Dari segi permintaan, pertumbuhan terus disokong oleh kegiatan sektor swasta serta rangsangan tambahan daripada eksport bersih.

“Pada masa depan, penggunaan swasta yang telah dirangsang oleh langkah pelepasan cukai akan terus didorong oleh kenaikan yang berterusan dalam upah dan guna tenaga,” ujarnya.

Sementara itu, BNM berkata, aktiviti pelaburan dijangka didorong oleh pengembangan berterusan kapasiti pengelua­ran dalam sektor-sektor utama, khususnya industri berorientasikan eksport, didorong oleh permintaan menggalakkan serta usaha-usaha meningkatkan automasi.

“Perbelanjaan sektor awam bagaimanapun dijangka memberikan kesan terhadap pertumbuhan, sehubungan dengan langkah kerajaan untuk menyusun semula perbelanjaannya mengikut keutamaan,” jelasnya.

Menurut BNM, dalam masa terdekat, ekonomi negara berdepan risiko pertumbuhan yang lebih perlahan akibat ke­tegangan perdagangan yang semakin ketara, prestasi lemah sektor perlombongan dan pertanian yang berlarutan serta ketidakpastian ber hubung dengan beberapa dasar dalam negeri.

“Namun, secara keseluruhan, ekonomi Malaysia diunjur terus berada pada landasan pertumbuhan yang kukuh,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai prestasi pasaran kewangan, BNM berkata, sejajar perkembangan dalam ekonomi serantau, pasaran kewangan negara terus mencatat aliran keluar portfolio bukan pemastautin berikutan perkembangan glo­bal semasa.