Ia bakal dibina menerusi kerjasama tiga buah syarikat tempatan iaitu Synergy Marine (M) Sdn. Bhd. (Synergy Marine), MTCMS Design Sdn. Bhd. (MTCMS) dan Shin Yang Shipping Corporation Bhd. (Shin Yang Shipping) melalui anak syarikatnya, Shin Yang Shipyards Sdn. Bhd. (Shin Yang Shipyards).

Pengarah Urusan Synergy Marine, Datuk Roslan Ahmad berkata, kapal tersebut diba­ngunkan dengan teknologi terkini dan berkeupayaan menggunakan diesel serta LNG sebagai bahan api.

Katanya, penggunaan LNG yang lebih bersih dan mesra alam menjadikan kapal ber­kenaan menepati syarat Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) yang menetapkan kadar pelepasan sulfur lebih rendah menjelang tahun 2020.

IMO akan menguatkuasakan had baharu sulfur 0.5 peratus pada kandungan bahan api glo­bal mulai 1 Januari 2020, lebih rendah daripada kadar 3.5 peratus sekarang.

Langkah itu sebagai maklum balas terhadap kebimbangannya mengenai pelepasan bahan berbahaya daripada kapal kepada alam sekitar.

“Penggunaan LNG akan me­ngurangkan kadar pelepasan sulfur, nitrogen dioksida, karbon dioksida dan zarah lain yang tidak hanya menjimatkan bahan api, malah lebih mesra alam dan menepati kehendak IMO,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara ketiga-tiga pihak di Hotel Mandarin Oriental dekat sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MTCMS, Abdul Razak Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Shin Yang Shipyard, Ting Hien Liong.

Menurut Roslan, kapal ber­kenaan akan direka oleh MTCMS sebelum dibina oleh Shin Yang Shipyards bagi pihak Synergy Marine sebagai selaku pemilik.

Kapal berkenaan akan dibina di kemudahan Shin Yang Shipyard di Miri, Sarawak pada Januari tahun hadapan dan dijangka siap menjelang Disember 2020.

“Pembiayaan pembinaan kapal itu akan menggunakan dana dalaman Synergy Marine dan bantuan bank tempatan.

“Ia juga akan dipajak kepada penggiat minyak dan gas tempatan serta antarabangsa yang berminat,” ujarnya.