Ketika ini, keseluruhan saiz dana BiGDF1 adalah lebih RM800 juta yang mana RM630 juta disumbangkan daripada kelas ringgit manakala bakinya adalah dalam dolar Amerika Syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment, Najmuddin Mohd. Lutfi berkata, sasaran tersebut bakal dipacu kerjasama dengan pelbagai institusi kewa­ngan tempatan dan asing bagi memasarkan dana ekuiti itu.

Syarikat pelaburan berkenaan ketika ini menjalinkan usahasama dengan rakan edaran termasuk Kumpulan Maybank, Affin Bank Bhd., Alliance Islamic Bank Bhd., Kenanga Investment Bank Bhd., Fundsupermart.com Malaysia, CIMB Bank Bhd. (CIMB Bank) dan CIMB Islamic Bank Bhd. (CIMB Islamic)

“Sebagai inisiatif bagi mencapai sasaran ini, kami berhasrat mewujudkan jalinan kerjasama dengan tiga lagi institusi kewa­ngan terkemuka tempatan dan asing di Malaysia.

“Kami melihat dana ekuiti global islamik ini mendapat sambutan memberangsangkan sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2015, selain mempunyai prospek positif dalam pasaran semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pengumuman Kerjasama BIMB Investment dengan CIMB Bank dan CIMB Islamic di Hotel Aloft, Jalan Sentral di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Perbankan Islamik CIMB Group Bhd., Rafe Haneef.

Menerusi usahasama itu, BiGDF1 yang merupakan dana pertama menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi data raya kini boleh dilanggan melalui platform kekayaan CIMB Bank dan CIMB Islamic di semua cawangan CIMB di seluruh negara.

Menurut Najmuddin, BIMB Investment buat masa ini me­rancang untuk memperluaskan tawaran dana BiGDF1 ke rantau ASEAN dengan menyasarkan untuk menembusi ke pasaran Brunei dan Indonesia menjelang tahun hadapan.

“Untuk tahun ini, kami fokus kepada penawaran tempatan selain Singapura,” jelasnya.