Ketua Pegawai Eksekutifnya, Najmuddin Mohd. Lutfi berkata, dana sukuk alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) pertama di dunia itu merupakan yang pertama yang menawarkan langganan dalam ringgit, dolar Amerika Syarikat (AS) dan dolar Singapura.

“Bagi dana ini, kami menjangkakan ratio langganan pada kadar 50:50 daripada segmen korporat dan runcit selain kebanyakan pelaburan dibuat dalam nilai ringgit.

“Dana ini menawarkan para pelabur potensi pendapatan tahunan yang stabil selain peluang bagi peningkatan modal dalam tempoh masa sederhana dan panjang dengan melabur dalam sukuk tempatan serta global,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis pelancaran BIMB ESG Sukuk Fund di sini semalam.

Menurut Najmuddin, analisis kelestarian bagi setiap syarikat yang menerima pelaburan itu akan dibuat menggunakan sistem penilaian pembelajaran mesin dan teknologi data raya, S-ray, milik Arabesque Asset Management Holding Ltd. yang berpangkalan di United Kingdom.

Menurutnya, sistem itu merupakan yang pertama seum­pamanya di dunia yang menilai skor ESG syarikat setiap hari.

“Ia akan menilai prestasi syarikat mengikut prinsip normatif hak asasi manusia, hak pekerja serta amalan alam sekitar dan anti-rasuah yang digariskan Kesan Global Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

“Analisis ESG terperinci dan kukuh itu akan menyediakan pandangan dan pemahaman mendalam mengenai kualiti pe­ngurusan syarikat dan kedudukannya bagi kejayaan jangka panjang,” jelasnya.

BIMB ESG Sukuk Fund ditawarkan untuk langganan dalam ringgit, dolar AS dan dolar Si­ngapura pada harga 0.25 sen seunit bagi tempoh masa tawaran permulaan dari 1 Ogos hingga 21 Ogos 2018.