Menurut Ketua Pemasaran BGRC, Nasiruddin Nasrun, taman tema air yang terdapat di sini telah menjadi tumpuan pelancong dalam negeri khususnya dari Pantai Timur dan juga dari negeri-ne­geri lain.

“Jika dahulu Gambang hanya dikelilingi dengan hutan dan kami yang mula meneroka kawasan ini berasa bimbang jika setelah dibangunkan nanti, kami tidak dapat sambutan yang baik daripada masyarakat dan juga pelabur.

“Namun sangkaan itu meleset sama sekali ke­rana pengasas projek ini cukup optimis terhadap projek ini.

“Beliau melihat peta lukisan grafik ketika awal pembangunannya seolah-olah melihat sebuah lukisan tiga dimensi yang cukup unik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi lawatan media ke BGRC di Gambang baru-baru ini.

Nasiruddin menerangkan, keyakinan tersebut disusuli dengan usaha gigih daripada semua pihak dan kini ia menjadi taman tema air pilihan pelancong dengan menerima kira-kira 450,000 hingga 500,000 pengunjung setiap tahun.

Lebih menarik, taman tema air seluas 45 hektar itu telah menerima pelbagai anugerah dan antaranya ialah Best Large Water Park.

Tambah beliau, ekoran kejayaan BGRC, Sentoria telah dipelawa untuk membangunkan projek hartanah khususnya taman tema air di Morib, Selangor dan juga Kuching, Sarawak.

Nasirrudin menerangkan, BGRC kini lengkap dengan pelbagai kemudahan bagi memenuhi permintaan serta gaya hidup pelanggan masa kini samada datang dengan tujuan bercuti, bersantai, bermesyuarat atau persidangan, menghadiri majlis korporat dan makan malam.

Projek tersebut menawarkan dua buah hotel yang memiliki 1,800 bilik berkonsep apartmen yang cukup selesa pada kadar harga mampu milik.