ZAKARIA
ZAKARIA

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Bhd. (FGV), Datuk Zakaria Arshad berkata, menerusi lawatan rasmi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke China yang dija­dualkan pada Ogos ini, pihak­nya berharap ia dapat menambah baik hubungan perdagangan sedia ada di antara kedua-dua negara.

“Pada masa ini, jumlah eksport mi­nyak sawit Malaysia ke China agak berkurang disebabkan oleh harga dan pasaran yang semakin kompetitif, terutama­nya dari Indonesia.

“Bagaimanapun, kami tetap cuba untuk mengekalkan penguasaan pasaran di negara tersebut yang pada ini berada pada kadar 20 hingga 30 peratus, meskipun ia sedikit menyusut berbanding sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Riang Ria Raya FGV 2018 di sini semalam.

Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong dalam satu laporan akhbar tempatan April lalu memaklumkan bahawa pada tahun lalu, China mengimport minyak sawit Malaysia bernilai RM9.42 bilion pada tahun lalu berbanding RM11 bilion oleh Kesatuan Eropah.

Menurut beliau, Malaysia mengeksport 17.6 juta tan minyak sawit pada tahun 2016, meningkat kepada 19.8 juta ton tahun lalu dengan jangkaan mence­cah 20 juta tan pada tahun ini.

Sementara itu, ditanya mengenai strategi-strategi yang dilaksanakan FGV bagi meningkatkan keberkesa­nan operasi, Zakaria berkata, pihak­nya mengkaji semula semua portfolio pelaburan yang ada untuk memberi tumpuan kepada perniagaan yang mendatangkan hasil.

“Kami sedang mengenal pasti portfolio, termasuk huluan mahupun hiliran, yang didapati bermasalah untuk diambil tindakan selanjutnya.

“Inisiatif-inisiatif untuk menambah baik perniagaan ada telah dilaksanakan dan akan dilakukan secara berterusan,” ujarnya.