Bagi tahun kewangan berakhir 31 Di­sember 2018, BDB mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM15.57 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Faris Najihan Hashim berkata, pihaknya sedang mengintai beberapa projek infrastruktur dalam dan luar negeri Kedah, selain projek pembangunan hartanah yang akan diumumkan kemudian.

Menurut beliau, 70 peratus daripada pendapatan BDB didorong oleh projek infrastruktur.

“Kami telah memulakan usaha untuk kembali mencatatkan keuntungan dan ia dijangka hanya dapat direalisasikan pada tahun 2020 kerana proses ini memerlukan masa.

“Bagaimanapun kami menjangkakan penambahbaikan yang jelas pada prestasi syarikat boleh mula dilihat bermula tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman antara BDB de­ngan Koperasi Telekom Malaysia Bhd. (Kota Mas) di sini baru-baru ini.

Menerusinya, BDB menawarkan penjualan rumah kepada Kota Mas melibatkan lebih 270 unit di dua perbandaran iaitu Bandar Darulaman, Jitra dan Darulaman Perdana di Sungai Petani dengan nilai jualan kasar hampir RM60 juta.

Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan pembangunan beberapa projek infrastruktur di Kedah termasuk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim bernilai RM1.6 bilion dan Lebuh Raya Koridor Utara yang menghubungkan Bandar Baharu-Sungai Petani dan Sungai Petani-Jambatan Sultan Abdul Halim bernilai RM1.7 bilion.