Pengarah Bahagian Perniagaan Francaisnya, Fauzi Awang berkata, strategi tersebut akan berterusan untuk tempoh lima tahun dari sekarang.

“Kami akan memperuntukkan sebanyak RM10 juta setahun untuk membeli jenama-jenama dari luar negara bagi pelaksanaan operasi secara francais di negara ini, dengan memfokuskan kepada sektor seperti penjagaan kesihatan, automotif, pelanco­ngan, perkhidmatan dan runcit.

“Selepas lima tahun, kami menyasarkan kemasukan 10 jenama baharu di bawah seliaan PNS dari negara seperti Amerika Syarikat, Indonesia dan Australia,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PNS di sini baru-baru ini.

Menurut Fauzi, perancangan tersebut merupakan susulan daripada pro­ses penstrukturan semula syarikat pada April lalu, yang telah mewujudkan Bahagian Perniagaan Francais dengan beliau bertindak sebagai pengarah.

Jelasnya, jumlah capex yang disediakan termasuk yuran francais dan pembangunan outlet prototaip di negara ini.

PNS kini mengoperasikan tiga jenama francais utama iaitu Gloria Jean’s Coffees (GJC), 1901 dan ASQ iaitu jenama haruman yang berusia 150 tahun dari Arab Saudi.

Sementara itu, Fauzi menjelaskan bahawa PNS menyasarkan perolehan berjumlah RM110 juta tahun ini, de­ngan perniagaan GJC dijangka me­nyumbang sebanyak RM14.1 juta.

“GJC kini memiliki sebanyak 58 cawangan termasuk lapan di Myanmar, dua di Indonesia dan empat di Brunei.

“Kami juga bakal membuka sembilan outlet baharu GJC tahun ini, antaranya di pusat beli-belah,” katanya.