Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KPWKM, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, berdasarkan Bancian Ekonomi 2016, jumlah usahawan wanita di Malaysia masih kecil iaitu pada paras 20.6 peratus daripada jumlah keseluruhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara.

“Saya percaya pemerkasaan sektor PKS secara efektif boleh mengurangkan kadar kemiskinan.

“Dalam hal ini, menjadi tanggungjawab kerajaan menyediakan dasar yang sesuai, manakala agensi-agensi kerajaan menyediakan produk dan perkhidmatan yang sesuai, selain khidmat nasihat yang berkaitan untuk mewujudkan satu kemudahan asas bagi membangunkan rak­yat melalui PKS,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran SME Bank XCESS 2018 di sini semalam.

Wan Azizah menjelaskan, satu garis panduan yang jelas diperlukan bagi mengenal pasti dan menyelaras peranan dan inisiatif yang dijalankan oleh setiap agensi agar tidak berlaku sebarang pertindihan fungsi.

SME Bank XCESS 2018 yang disertai hampir 700 usahawan, merupakan program capaian tahunan yang dianjurkan khusus bagi menangani isu akses kepada pembia yaan untuk usahawan PKS.

Sementara itu, SME Bank turut memperkenal dua produk terbaharu menerusi program XCESS 2018 iaitu MySMELady dan MySMExport, yang akan menjadi pencetus kepada pengembangan perniagaan bagi usahawan wanita dan usahawan yang ingin menembusi pasaran global.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, kedua-dua program tersebut disasarkan untuk menghasilkan produk baharu yang mana ia bakal menyumbang secara signifikan kepada matlamat menjadikan sektor PKS sebagai penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara.

"Melalui MySMELady, usahawan wanita yang layak boleh memohon pembiayaan sehingga RM1 juta dengan cagaran minimum, dan pemohon yang berjaya akan diberi pilihan pengeluaran wang sehingga 30 peratus daripada jumlah pembiayaan modal kerja melalui kad debit Bank Islam.

“Bagi MySMExport, usahawan ditawarkan pembiayaan sehingga RM5 juta tanpa cagaran selain mendapat akses kepada kemudahan serta program perdagangan dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia dan Bank Muamalat,” katanya.

Beliau berkata, bagi edisi tahun ini, 20 pegawai kredit ditugaskan membimbing peserta program secara bersemuka melalui aktiviti Biz Clinic serta tujuh vendor daripada sektor peruncitan, telekomunikasi, teknologi maklumat dan perkilangan untuk sesi padanan perniagaan. – Bernama