Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, langkah proaktif itu perlu dibuat bagi memastikan kelangsungan penggunaan minyak biodiesel sebagai bahan api alternatif, yang mana dapat menggantikan diesel petroleum.

“Kerajaan sedang berusaha untuk menjayakan program B10 di sektor pengangkutan, menerusi usaha sama dengan beberapa pihak berkepentingan seperti Felda Global Ventures Holding Bhd. (FGV).

“(Namun) menerusi sesi konsultasi yang diadakan pada 1 Ogos lalu bersama pengeluar kenderaan, persatuan pengilang dan syarikat petroleum, saya dapati terdapat pihak yang masih tidak berkeyakinan terhadap penggunaan B10,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif FGV- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dalam Meneraju Penggunaan B10 di sini semalam.

Teresa menjelaskan, susulan maklum balas yang diterima itu, pihaknya akan merangka pelan pelaksanaan program biodiesel yang bertujuan untuk meningkatkan penggunaan minyak biodiesel sekali gus dapat menyumbang kepada kemampanan industri sawit negara.

“Malaysia sebagai salah satu pengeluar utama minyak sawit memainkan peranan penting untuk memastikan komoditi ini mendapat sambutan yang baik di mata dunia.

“Saya difahamkan bahawa projek penggunaan B10 FGV-MPOB telah dimulakan sejak Oktober 2017 dan inisiatif FGV untuk menggunakan B10 boleh dijadikan contoh kepada syarikat perladangan sawit lain bagi mempromosikan penggunaan B10,” katanya.