Ketua Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, pengiktirafan berkenaan adalah hasil usaha Bank Rakyat sejak 2016 bagi membantu golongan autistik di seluruh negara dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap autisme menerusi kempen #AnakKita. 

Menurutnya, anugerah ini juga hasil usaha kerja keras, semangat dedikasi dan kreativiti warga kerja bank itu serta persatuan yang terlibat dalam merancang pelaksanaan inisiatif CSR bagi membantu komuniti yang kurang bernasib baik.

“Kami akan memastikan matlamat utama CSR kami selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti tiada kemiskinan, tiada kelaparan, pendidikan berkualiti serta tindakan berkenaan iklim,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Nizam berkata, Bank Rakyat akan meneruskan usaha CSR ini dengan menyalurkan sumbangan makanan bernutrisi kepada kanak-kanak golongan B40 menerusi program Nuri Nutrisi yang mula dilancarkan pada awal tahun ini.

Katanya, dibawah program itu, pihaknya dengan kerjasama United Nations Country Team (UNCT) telah merangka 200 program untuk membantu 20,000 kanak-kanak kurang berkemampuan di seluruh negara.

“Program ini bertujuan bagi mewujudkan kehidupan lestari untuk komuniti setempat dengan pelbagai usaha untuk meningkatkan status pemakanan masyarakat, serta bagi melindungi keperluan sosial penduduk tempatan termasuk bukan warganegara, selaras dengan slogan SDG UNCT ‘tiada yang terpinggir’.

“Langkah-langkah kelestarian akan terus menjadi fokus utama dalam strategi CSR Bank pada masa akan datang ke arah mencapai aspirasi kami untuk menjadi ‘Bank Lestari’ pertama di Malaysia,” ujarnya. 

Tambah Nizam, komitmen syarikat itu terhadap pembangunan komuniti telah diiktiraf di peringkat Asia apabila Bank Rakyat mengungguli kategori ‘Pemerkasaan Sosial’ di Asia Responsible Enterprise Awards 2019 (AREA 2019) baru-baru ini. - K! ONLINE