TENGKU ZAFRUL
TENGKU ZAFRUL

Ini susulan pengisytiharan kadar dividen 6.90 peratus bagi Simpanan Konvensional 2017 dengan jumlah agihan dividen sebanyak RM44.15 bilion dan 6.40 peratus bagi Simpanan Shariah dengan jumlah agihan RM3.98 bilion oleh KWSP pada Sabtu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd., Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, kadar dividen tinggi yang diumumkan jelas mencerminkan strategi pelaburan pelbagai yang baik oleh dana simpanan persaraan berkenaan.

“Kami menyokong sepenuh­nya usaha KWSP untuk menjadikan persaraan sebagai topik utama agar lebih ramai golo­ngan muda boleh me­rancang, sama ada me­nerusi KWSP atau Skim Persaraan Swasta, sebaik sahaja mereka mula bekerja,” katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.

Sementara itu, Kum­pu­lan Maybank melihat kadar dividen yang di­umumkan itu adalah sangat baik memandang­kan kadar faedah global masih di bawah apa yang dianggap sebagai persekitaran kadar faedah normal.

ABDUL FARID
ABDUL FARID

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Fa­rid Alias berkata, KWSP mencatatkan prestasi sa­ngat memberangsangkan dengan memberikan kadar dividen yang lebih tinggi berbanding sasaran mereka dua peratus melebihi kadar inflasi 3.7 peratus tahun lepas.

“Meskipun menyedari perbezaan antara Simpanan Konvensional dan Shariah, kami percaya dengan masa dan ke­tersediaan lebih banyak instrumen pelaburan patuh syariah, KWSP akan dapat mencapai persamaan dalam pulangan bagi kedua-dua ini,” katanya.

Kelmarin, KWSP mengumumkan jumlah agihan dividen bagi tahun 2017 adalah sebanyak RM48.13 bilion, peningkatan 29.8 peratus berbanding 2016.

Selain mengisytiharkan agihan pendapatan sulung Simpanan Shariah, kadar 6.90 peratus untuk Simpanan Konvensional juga merupakan nilai tertinggi yang pernah diumumkan KWSP sejak 1997.

Sementara itu, pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM53.14 bilion yang dicapai me­rupakan jumlah tertinggi sejak penubuhan organisasi keselamatan sosial itu pada tahun 1951.