Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin berkata, menerusi program tanggungjawab korporat itu, lebih daripada 13,000 orang akan diraikan.

“Selain sumbangan, Bank Islam bakal menjalankan pelbagai aktiviti amal di semua wilayah di mana bank beroperasi, termasuk majlis meraikan golongan yang memerlukan.

“Negeri yang terlibat ialah di Perak, Sarawak, Kelantan, Johor dan Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenya­taan di sini baru-baru ini.

Khairul menjelaskan, program AMAL Ihtimam Ramadan Bank Islam 2018 melibatkan seramai lebih 176 orang gelandangan, 110 pegawai bomba, 100 jururawat, 200 orang asnaf dan 500 pelajar kurang berkemampuan dari 38 buah sekolah di seluruh negara.

“Turut diraikan ialah rakan media yang terpaksa bertugas pada waktu berbuka dengan pengagihan juadah berbuka untuk mereka,” jelasnya.

Tambah Khairul, buat julung-julung kalinya, Bank Islam pada tahun ini memperuntukkan sejumlah RM60,000 untuk 15 usahawan kecil yang berdaftar di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia.

Ia bertujuan untuk membantu mereka berniaga di dua lokasi bazar Ramadan iaitu Jalan Tunku Abdul Rahman di sini dan Seksyen 18, Shah Alam.