Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Muazzam Moha­med berkata, pelan itu memberi fokus kepada penambahbaikan infrastruktur teknologi maklumat dan perbankan digital secara menyeluruh bagi bank tersebut.

“Pelan hala tuju ini akan meliputi tiga komponen iaitu produk baharu, khidmat pelanggan, kemudahan titik sentuh serta sistem operasi dan pemprosesan dalaman yang akan memudahkan urusan perbankan pelanggan yang mana semuanya menggunakan kaedah digital.

“Bagaimanapun, jumlah peruntukan itu mungkin akan berubah dalam tempoh tiga tahun ini, bergantung kepada perkembangan dalam teknologi dari semasa ke semasa,” kata­nya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis pengumuman prestasi kewa­ngan BIMB Holdings Bhd. (BIMB Holdings) bagi tempoh enam bulan pertama berakhir 30 Jun 2018 di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan BIMB Holdings, Malkit Singh Maan.

Sementara itu, ditanya mengenai segmen perbankan internet Bank Islam pada masa ini, Mohd. Muazzam berkata, ia mencatatkan pertumbuhan pengguna sebanyak dua digit dalam tempoh dua tahun lepas.

“Sehingga kini, kami mempunyai kira-kira 500,000 pengguna perbankan internet dan ia dijangka terus meningkat dengan kukuh dari tahun ke tahun melihatkan kepada trend ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengenai prestasi kewangan kumpulan, Malkit menerangkan, BIMB Holdings mengunjurkan pertumbuhan pembiayaan bersih kira-kira lapan peratus pada tahun ini, hampir sama seperti yang direkodkan pada tahun kewangan 2017.

“Melihat kepada prestasi pembiayaan pada separuh pertama 2018, kami menjangkakan untuk mengekalkan kadar yang hampir sama dan sedikit berhati-hati dengan persekitaran semasa, terutamanya polisi-polisi baharu yang akan diumumkan oleh kerajaan.,” jelasnya.

Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2018, Bank Islam mencatatkan pertumbuhan pembiayaan bersih sebanyak 6.7 peratus, meningkat kepada RM43.2 bilion berban­ding RM40.5 bilion yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lepas.