Dana itu adalah khusus untuk usahawan wanita di bawah segmen perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, program WinBiz menawarkan kemudahan perbankan yang komprehensif bagi memenuhi keperluan modal kerja dan perbelanjaan modal perniagaan-perniagaan berstatus Sdn. Bhd. yang dimiliki serta diterajui oleh wanita.

“Bank Islam menerusi bahagian perbankan PKS telah mendekati kumpulan usahawan wanita untuk mendapatkan input mengenai keperluan serta kehendak mereka bagi memajukan perniagaan dimiliki.

“Antara permasalahan yang disuarakan adalah kesukaran mereka mendapatkan pem­biayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran dana tersebut yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail di sini semalam.

Mohd. Muazzam menjelaskan, sebagai permulaan, program WinBiz menyediakan kemudahan pembiayaan perniagaan berjangka-i dengan had pem­biayaan sehingga RM1 juta dalam tempoh sehingga tujuh tahun yang dijamin 70 peratus oleh kerajaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd.

“Sesungguhnya kami amat berbangga kerana diberi peluang untuk memperkenalkan program tersebut di pasaran.

“Ia merupakan satu komitmen permulaan dengan penambahbaikan akan diambil secara berperingkat dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Program WinBiz Bank Islam akan ditawarkan di pasaran mulai bulan depan.