Hana Medic merupakan syarikat pengeluar produk penjagaan peribadi dan perubatan de­ngan tumpuan kepada rangkaian pembasmi kuman untuk tangan bagi kegunaan hospital serta pusat-pusat perubatan.

Pengarah Urusannya, Dr. Norayati Abd. Majid berkata, pada masa ini, perniagaan eksport menyumbang sebanyak 30 peratus kepada perolehan syarikat, manakala selebihnya terdiri dari­pada pasaran domestik.

“Sehingga akhir tahun ini, kami menjangkakan untuk menembusi beberapa pasaran baharu iaitu Indonesia, Myanmar, Australia dan Fiji menerusi pelbagai rangkaian produk termasuk jus buahan campuran yang baru dilancarkan, JustGreat.

“Melalui langkah berterusan syarikat untuk mengintai lebih banyak pasaran baharu pada masa akan datang, kami yakin mampu mengukuhkan perniagaan eksport Hana Medic, seterusnya mampu seiring dengan syarikat-syarikat antarabangsa yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di sini baru-baru ini.

Acara tersebut diadakan bagi memperkenalkan Hana Medic sebagai salah sebuah syarikat milik usahawan wanita yang dibimbing Matrade menerusi Program Pembangunan Pengeksport Wanita (WEDP).

Sejak menamatkan latihan di bawah WEDP pada tahun 2016, Hana Medic telah memperluaskan jaringan pasaran eksportnya ke Emiriyah Arab Bersatu, Qatar, Kuwait, Britain dan China.

Sementara itu, Norayati berkata, pada masa ini, seba­nyak 70 peratus daripada perniagaannya terdiri daripada tender bekalan dengan hospital-hospital, selain selebihnya dalam segmen runcit.

“Perniagaan tender hospital terdiri daripada produk pembasmi kuman yang melibatkan hospital-hospital dan pusat perubatan tempatan serta di luar negara.

“Antaranya adalah Hospital Universiti Sultan Qaboos di Oman serta hospital-hospital di Macau, Brunei, Myanmar dan Shenzen, China.

“Segmen runcit pula terdiri daripada produk-produk pembasmi kuman untuk kelengkapan rumah dan pembasmi kuman untuk tangan,” jelasnya.