Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perindustrian dan Perdaga­ngan Sabah, Datuk Wilfred Madius Tangau (gambar kecil) berkata, perkara itu antara lain disebabkan sumber tenaga kerja seperti dari Indonesia yang memilih rakyatnya untuk bekerja di negara mereka.

“Tambahan pula pekerja dari Indonesia yang sudah berpe­ngalaman di Sabah dalam kerja berkaitan memilih untuk bekerja di negara sendiri.

“Selain itu, gaji minimum di Indonesia yang lebih tinggi dari Malaysia juga menjadi faktor penting yang sangat mempe­ngaruhi (situasi ini),” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Tangau berkata, Indonesia kini ke arah memperkasakan pembangunan industri perkilangan dan perladangan, sekali gus memberi pilihan kepada rakyatnya untuk berkhidmat di tanah air mereka.

Menurutnya, keadaan itu akan menjadi cabaran utama bagi Sabah untuk mendapatkan sumber tenaga kerja dari negara berkenaan dalam bidang perladangan.

Ujar beliau, Sabah turut dijangka me­ngalami kerugian besar dari sudut cukai yang berjumlah RM900 juta setahun.

Ia berlaku sekiranya ladang kelapa sawit di negeri ini tidak dapat diuruskan dengan baik ekoran masalah kekurangan tenaga kerja.

Tangau juga berharap agar rakyat Sabah berfikiran terbuka dan tidak memandang negatif isu membabitkan pengambilan pekerja asing demi memastikan sektor perladangan dan perindustrian dapat diteruskan untuk pembangunan negeri pada masa akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan negeri pada masa ini sedang berusaha memastikan kesemua ladang kelapa sawit di Sabah, termasuk pekebun kecil, menerima pensijilan supaya hasil mereka diterima kilang yang terbabit dengan pemasaran.