Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI), Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, strategi belanjawan kerajaan PH mestilah berhemat dan mesra golongan berpendapatan rendah, adil serta saksama serta bertujuan untuk menyusun semula ekonomi negara melalui meritokrasi dan persaingan.

“Bajet yang akan dibentangkan pada 2 November ini, mesti mampu memulakan satu ekosistem baharu yang akan menyam­paikan keadilan serta kesamarataan bagi semua sektor ekonomi merangkumi golongan pekerja, permodalan dan usahawan.

“Sehubungan itu, kami akan terdorong untuk menyokong strategi bajet ini dan cukai yang lebih tinggi.

“Rasuah juga perlu dikurangkan supaya pembayar cukai berasa lebih yakin bahawa cukai mereka akan dibelanjakan dengan bijak serta tidak dilencongkan ke saluran rasuah atau pembaziran,” katanya dalam satu kenya­taan yang dikeluarkan di sini semalam.

Ramon menjelaskan, kerajaan telah membayangkan bahawa antara strategi-strategi tersebut ialah pengenalan cukai baharu yang dijangka menjadi tidak po­pular di kalangan rakyat.

“Tetapi jika cukai itu hanya dikenakan ke atas orang-orang yang mampu untuk membayar seperti golongan kaya dan bukan ke atas kelas sederhana atau miskin, maka saya fikir cukai-cukai baharu ini akan dialu-alukan dan popular dalam kalangan majoriti rakyat Malaysia" katanya.

Rakyat akan menyambut baik sistem cukai yang lebih progresif jika ia mampu mengurangkan jurang pendapatan, menyediakan lebih banyak dana bagi pembayaran hutang negara yang tinggi iaitu sebanyak RM1 trilion, mengurangkan defisit bajet dan membantu kerajaan untuk terus membekalkan keperluan asas rakyat.

Tambah beliau, kerajaan tidak seharusnya mengurangkan peruntukan bagi program berkaitan dengan kesihatan, pendidikan, persekitaran, pertahanan, keselamatan dan pembasmian kemiskinan.