Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, peruntukan bagi pembangunan negara akan dikurangkan kerana ia tidak dapat di­elakkan, tetapi bajet untuk operasi akan dikekalkan.

“Untuk Bajet 2019, kita perlu menggunakan pendapatan kita, termasuk untuk membayar hutang. Kita (bagaimanapun) tidak dapat mengurangkan bajet operasi, ia perlu diteruskan.

“Tetapi sejauh mana bajet tersebut akan dikurangkan, anda perlu tanya Menteri Kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen selepas membentangkan Laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) di Dewan Rakyat semalam.

Mahathir menegaskan, pengurangan bajet pembangunan perlu dilakukan kerana kerajaan terpaksa membayar hutang RM1 trilion yang diwarisi daripada kerajaan sebelum ini.

Kepada soalan mengenai kemungkinan penarafan negara diturunkan berdasarkan anggaran bahawa defisit fiskal akan berjumlah tiga peratus daripada Kelua­ran Dalam Negeri Kasar (KDNK), Perdana Menteri berkata, “macam mana sekalipun pasaran akan tetap memberi reaksi.”

Beliau menjelaskan, bagaimanapun, kerajaan akan cuba memperbaiki landskap ekonomi, politik dan sosial negara.

Tambah Dr Mahathir, pentadbiran semasa telah dibebani dengan tahap hutang tinggi yang mengekang pertumbuhan ekonomi dan pembangunan.

“Sama ada kita menyukainya atau tidak, itu adalah fakta (tetapi), kita dapat melakukan sedikit pembangunan daripada pendapatan yang diperoleh, tetapi untuk sasaran defisit, tiga peratus adalah sasaran kita buat masa ini,” katanya.

Mengenai sasaran KDNK antara 4.5 dan 4.9 peratus untuk tahun ini, beliau menjelaskan pertumbuhan lebih perlahan berbanding ramalan KDNK kerajaan sebelum ini yang termasuk unsur luar bajet.

“Apa sahaja yang mereka tidak suka, mereka letak di luar bajet, mereka me­minjam RM42 bilion dan (mengkategorikannya sebagai) luar bajet, kini ia diwarisi kerajaan ini dan ia syarikat 100 peratus milik kerajaan, (oleh itu) ia memberi kesan kepada kewangan kita (sekarang),” kata Dr. Mahathir.